Guru termasuk 3 murid cedera, pemandu bas dipenjara 7 hari, denda RM8,000

Guru termasuk 3 murid cedera, pemandu bas dipenjara 7 hari, denda RM8,000

Mohamad Hamir Masrudin mengaku salah di Mahkamah Majistret dalam kejadian pada Sabtu lalu.

kemalangan rombongan tadika
Mohamad Hamir Masrudin, 44, diperintah jalani hukuman tambahan penjara tujuh bulan, jika gagal bayar denda. (Gambar TikTok)
PETALING JAYA:
Pemandu bas dipenjara tujuh hari dan denda RM8,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret kerana memandu berbahaya di Universiti Putra Malaysia (UPM), sehingga membawa kecederaan kepada tiga murid dan seorang guru, Sabtu lalu.

Majistret Nur Nastasya Mohtarudin menjatuhi hukuman itu terhadap Mohamad Hamir Masrudin, 44, dengan tertuduh akan dikenakan hukuman tambahan penjara tujuh bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Hamir didakwa memandu dengan cara yang memandang kepada segala hal keadaan (termasuk jenis, keadaan, luas jalan, dan kesesakan lalu lintas yang ada atau mungkin ada di jalan itu) berbahaya kepada orang awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran Universiti 1, UPM, 12.18 tengah hari, 2 Ogos, lapor Berita Harian.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Hukuman memperuntukkan penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Terdahulu, tertuduh tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia bekerja sambilan dan menanggung keluarga terutama ibu yang sakit.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira fakta kes semasa kejadian.

“Tertuduh memandu dalam keadaan cuai, laju, dan berbahaya dan dalam kes ini terdapat tiga kanak-kanak dan seorang guru cedera akibat pemanduan secara cuai tertuduh ini.”

Sebelum ini, dilaporkan seorang guru dan tiga murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ampang cedera selepas bas dinaiki mereka melanggar pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, UPM.

Kejadian 12.18 tengah hari itu berlaku ketika bas dipandu lelaki berusia 44 tahun membawa lima guru pengiring dan 30 murid dalam perjalanan dari arah sebuah kilang coklat menuju ke G2G Animal Garden, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.