Bangkit 13 Mei, Speaker akan tentukan nasib Ahli Parlimen Pendang

Bangkit 13 Mei, Speaker akan tentukan nasib Ahli Parlimen Pendang

Johari Abdul berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat untuk merujuk Awang Hashim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Hari ini, RSN Rayer mengemukakan usul untuk merujuk Awang Hashim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul akan membuat keputusan membabitkan Awang Hashim (PN-Pendang) sama ada wakil PAS itu dikenakan tindakan atau sebaliknya kerana menyentuh rusuhan kaum 13 Mei 1969 di Dewan Rakyat semalam.

Johari berkata beliau telah menerima usul daripada RSN Rayer (PH-Jelutong) supaya merujuk Awang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Ya saya dah dapat surat itu bagi masa sikit,” katanya kepada Rayer semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Rayer yang mencelah selepas perbahasan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) menggesa Johari membuat keputusan terhadap Awang.

“Semalam saya juga telah masukkan satu usul di bawah 36 (9C) rujuk Pendang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Mohon tindakan tegas,” katanya.

Semalam media melaporkan Dewan Rakyat kecoh selepas Awang memberi peringatan kepada kerajaan mengenai rusuhan kaum 13 Mei 1969 dengan mendakwa tiada pelan spesifik buat Bumiputera dalam RMK13.

Ketika menyentuh rancangan khusus kepada Kampung Baru Cina dalam RMK13, Awang bertanya kenapa tiada sebarang pelan spesifik untuk kaum Bumiputera

Bagaimanapun, Rayer yang tidak puas hati meminta Timbalan Speaker Alice Lau mengarahkan Awang tarik balik kenyataannya.

Alice sebaliknya mencadangkan Rayer supaya mengemukakan usul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.