
Katanya, Rancangan Malaysia Ke‑13 (RMK13) tidak boleh bersandar semata-mata kepada idealisme politik dan seharusnya dipandu realiti sebenar dihadapi rakyat.
“Apa ertinya inflasi diumumkan 1.1% kalau harga barang dapur naik hampir setiap minggu. Kita perlu jujur melihat inflasi makanan yang melonjak 2.9% hingga 3.3% terutama di Lembah Klang,” katanya ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat.
Pada 31 Julai lalu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata ekonomi negara diunjurkan berkembang pada kadar antara 4.5% dan 5.5% sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaan RMK13.
RMK13 akan melibatkan sejumlah RM611 bilion dalam tempoh lima tahun, dengan peningkatan besar dijanjikan dalam pengangkutan, pendidikan, kesihatan, dan tenaga boleh diperbaharui, antara lain.
Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mengingatkan pihak menjadi kerajaan tidak menjadikan rancangan Malaysia sebagai milik eksklusif mereka.
Beliau berkata, rancangan Malaysia adalah lanjutan daripada kesinambungan dasar negara.
“Ia adalah tali-temali yang saling kait-mengait dan lengkap-melengkapi yang disulam sejak merdeka demi kemakmuran rakyat,” katanya.
Hamzah menyifatkan RMK13 sebagai agak janggal kerana kerajaan seolah-olah tidak berani mengambil langkah tegas dalam menangani kesenjangan ekonomi dalam negara.
Kayanya, PN mahu kerajaan fokus kepada perkara teras bukan ‘persembahan’.
“Kerajaan harus lebih fokus kepada tadbir urus yang cekap, bukan gimik pelancaran,” katanya.