
SIS Forum (Malaysia), yang dahulunya dikenali sebagai Sisters in Islam, berkata tindakan baru-baru ini terhadap satu acara berkaitan HIV akan mencetuskan duluan yang membimbangkan, iaitu mereka yang menghadiri acara sedemikian berisiko ditahan dan dimalukan.
Pengurus komunikasi kumpulan itu, Ameena Siddiqi berkata program HIV yang menyediakan saringan, pendidikan dan kaunseling adalah perlu dan dituntut dalam Islam untuk melindungi nyawa.
“Menahan atau menjenayahkan usaha sebegini secara sedar adalah meneruskan kemudaratan, dan bercanggah dengan etika Islam,” katanya.
Ameena berkata salah label terhadap program bimbingan ini akan menggagalkan kemajuan dalam strategi kebangsaan memerangi HIV/AIDS serta menjejaskan kerjasama pada masa depan antara NGO dan agensi kerajaan.
Kenyataan SIS ini susulan serbuan pada Jun lalu, yang membawa kepada penahanan 20 lelaki di sebuah banglo di Kota Bharu, yang didakwa menghadiri ‘pesta gay’, satu dakwaan yang beberapa NGO termasuk SIS Forum dan doktor katakan sebagai tidak tepat.
Mereka berkata acara tersebut menyediakan maklumat kesihatan seksual dan berkaitan HIV, termasuk ceramah oleh doktor dan tiada peserta hadir untuk menawarkan perkhidmatan seksual.
Dr Ahmad Farouk Musa dari kumpulan pemikir Islamic Renaissance Front berkata usaha menangani HIV adalah berlandaskan etika Islam, yang menekankan kewajipan mencegah kemudaratan dan memelihara nyawa.
Ini turut merangkumi golongan yang sering dilihat menjalani tingkah laku berisiko tinggi atau berdosa seperti penagih dadah, pekerja seks, dan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis.
“Saya percaya bahawa etika Islam sangat menyokong inisiatif pencegahan dan rawatan HIV, tanpa mengira kontroversi yang mungkin tercetus, sebagai perbuatan penuh belas ihsan, keadilan dan tanggungjawab awam,” katanya.
Farouk berkata bahawa bahkan Majlis Fatwa Perlis pernah memutuskan bahawa kepentingan mencegah penularan HIV mengatasi sebarang kebimbangan moral berhubung tingkah laku yang dilihat berdosa.