
Mengulas harapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tiada pertembungan membabitkan tiga gabungan itu, Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah Masiung Banah berkata partinya pasti tidak bersetuju dengan langkah itu.
Beliau juga berkata pakatan sedemikian boleh mengelirukan pengundi memandangkan GRS dan PH sudah bersetuju untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri, lapor Sinar Harian.
“Tipis kemungkinan kerjasama ini dicapai.
“Namun jika ia menjadi kenyataan, kami berpegang kepada kenyataan perdana menteri pada 11 Mei bahawa (pengerusi GRS) Hajiji Noor harus mengetuai rundingan mengenai pengagihan kerusi,” katanya.
ADUN Kuamut itu menambah GRS dan PH Sabah telah membentuk kerjasama kukuh, dan partinya berhasrat terus berpegang kepada persefahaman itu sepenuhnya.
“GRS juga sudah hilang keyakinan terhadap BN-Umno kerana mereka mengkhianati kerjasama yang terjalin melalui ‘Gerakan Kinabalu’.
“Pada masa sama, BN-Umno juga telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan GRS. Kami berharap perdana menteri menghormati pendirian kami,” katanya.
Semalam, Anwar berkata perbincangan sedang berlangsung antara BN, GRS dan PH bagi mencapai persefahaman untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRN Sabah.
Pengerusi PH itu sebelum ini berharap ketiga-tiga gabungan dapat bekerjasama untuk menghadapi pilihan raya terbabit.
Pada 27 Julai lalu, Hajiji mengumumkan GRS dan PH telah bersetuju membentuk pakatan untuk PRN itu. Pengerusi BN, Zahid Hamidi, juga berkata kerjasama gabungan itu dengan PH di Sabah ‘dikunci’.
Namun, memandangkan BN dan GRS tidak bekerjasama secara rasmi, kedua-dua gabungan dijangka berentap dalam PRN yang dijangka diadakan hujung tahun ini.
Sabah Umno dan GRS sebelum ini merupakan dalam kerajaan negeri, namun kerjasama itu runtuh selepas Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin gagal menyingkirkan Hajiji sebagai ketua menteri pada Januari 2023, dalam satu gerakan dikenali ‘Langkah Kinabalu’.