
Kementerian ekonomi berkata pindaan itu sebaliknya sebahagian daripada langkah untuk memastikan RMK13 selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani.
“Perubahan dan pindaan kepada draf naskah RMK13 bukan sesuatu bersifat mendadak atau di luar perancangan.
“Penyediaan Rancangan Malaysia untuk tempoh lima tahun dilaksanakan mengikut keperluan termasuk proses perundingan yang menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang bertanya apakah perubahan dasar drastik yang menyebabkan RMK13 dipinda pada saat akhir.
Naib presiden Bersatu itu merujuk kepada pengumuman kerajaan yang Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan diberikan tanggungjawab portfolio ekonomi dan ditugaskan meminda serta menambah baik RMK13.
Draf terbabit sebelum itu diselia Rafizi yang meletak jawatan susulan kekalahan pada pemilihan PKR, menyaksikannya gagal mempertahankan kedudukan timbalan presiden.
Rafizi mempersoalkan mengapa RMK13 perlu dirombak tetapi kemudian menyatakan beliau berpuas hati kerana hampir semua pembaharuan dasar utama yang dimasukkannya kekal dalam versi dokumen yang dibentangkan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, minggu lalu yang secara keseluruhan membabitkan pelaburan RM611 bilion.