Lebih 60,000 sertai kesatuan sekerja di Sabah

Lebih 60,000 sertai kesatuan sekerja di Sabah

Daripada jumlah itu 22,317 pekerja adalah kakitangan sektor kerajaan, swasta (35,194) manakala 3,253 pula badan berkanun.

Ketua Menteri Hajiji Noor dalam perhimpunan Hari Kesatuan Sekerja peringkat Sabah. (Gambar Kementerian Sumber Manusia)
KOTA KINABALU:
Sebanyak 60,764 pekerja di Sabah menjadi ahli kesatuan sekerja berdaftar di negeri ini, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 22,317 pekerja adalah kakitangan sektor kerajaan, swasta (35,194) manakala 3,253 pula badan berkanun.

Hajiji berkata, terdapat 92 kesatuan sekerja berdaftar di negeri ini yang dikawal selia Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Sabah, merangkumi 23 kesatuan sektor kerajaan, 52 kesatuan sektor swasta dan 16 kesatuan badan berkanun.

“Sabah mencatatkan tenaga buruh melebihi 1.7 juta orang pada tahun lepas dan sumbangan kolektif daripada tenaga kerja ini telah memacu peningkatan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Sabah sebanyak RM84.3 bilion.

“Ia telah menyumbang kepada peratusan kenaikan KDNK terutama dalam sektor kritikal seperti pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan Hari Kesatuan Sekerja peringkat Sabah.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Mohd Asri Abdul Wahab.

Hajiji berkata, seiring era globalisasi dan revolusi teknologi yang kian pesat, beliau menyeru kesatuan sekerja di negeri untuk lebih proaktif dalam menjaga kebajikan ahli mereka menerusi inisiatif dan program yang disediakan sama ada di peringkat pusat atau negeri.

“Peranan kesatuan sekerja amat penting sebagai benteng utama menjaga keadilan sosial dan memastikan setiap pekerja mendapat hak sewajarnya bukan sahaja gaji adil, tetapi peluang kemahiran, keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, jaminan sosial dan suasana kerja yang sejahtera dan kondusif,” katanya.

Katanya, kerajaan Sabah mengalu-alukan kesatuan sekerja sebagai rakan strategiknya dan komited dalam memperkasakan tenaga kerja, menyokong gerakan kesatuan sekerja serta memastikan kebajikan mereka terpelihara.

“Saya percaya Sabah mampu menjadi negeri contoh di Malaysia dalam membangunkan ekosistem pekerjaan yang bukan sahaja menjana ekonomi kukuh, tetapi juga secara konsisten menegakkan hak pekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.