Buang perangai lama jika mahu RMK13 berhasil, kerajaan diberitahu

Buang perangai lama jika mahu RMK13 berhasil, kerajaan diberitahu

Rafizi Ramli berkata, antara 'perangai lama' yang harus dibuang termasuk mansuh dasar bermanfaat dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu.

rafizi ramli
Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli berkata, idea yang bagus perlu dikekalkan dan ditambah baik, tidak kisah kerajaan mana yang memperkenalkannya.
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli memberi amaran bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berisiko gagal sekiranya ‘perangai’ yang sekian lama menjejaskan pelaksanaan dasar negara terus diamalkan.

Ketika membahaskan rangka tindakan pembangunan lima tahun itu di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beberapa kecenderungan harus dihentikan.

Yang pertama, katanya, ialah sikap kerajaan baharu yang membatalkan dasar-dasar pentadbiran terdahulu, walaupun terbukti baik dan bermanfaat.

“Tukar kerajaan, buang terus (rancangan terdahulu) walaupun rancangannya baik. Kalau kerajaan hantar menteri pun bertukar, kebiasaannya rancangan yang telah dipersetujui sebelum ini akan dibuang dan kerajaan akan berbelanja baharu untuk buat (perancangan) baharu. Itu perlu dihentikan,” katanya.

Beliau berkata, idea yang bagus perlu dikekalkan dan ditambah baik, tidak kisah kerajaan mana yang memperkenalkannya.

Rafizi turut menyentuh tentang apa yang disifatkannya sebagai ‘egoisme politik’, apabila cadangan yang baik ditolak hanya kerana ia bukan datangnya daripada kepimpinan semasa.

Beliau mengkritik kurangnya keikhlasan dalam membuat keputusan, dengan menyatakan sudah menjadi kebiasaan bagi pemimpin untuk mempersetujui sesuatu perkara dalam mesyuarat, tetapi kemudiannya menyekat pelaksanaannya.

Kemudian wujud pula budaya kerja yang tidak seimbang dalam banyak organisasi, katanya, apabila hanya segelintir individu memikul sebahagian besar tanggungjawab manakala majoriti hanya menjadi pemerhati pasif.

“Apabila jadi, dia tunggang. Kalau tak jadi, yang 80% itu secara berjemaah akan menuding jari kepada (20%),” katanya.

Rafizi juga mengkritik jurang yang sering wujud antara rancangan jangka panjang negara dengan projek-projek yang dicadangkan kemudian bagi menterjemahkan rancangan tersebut kepada tindakan.

“Rancangan lain, projek lain. Dalam RMK13, anjakan-anjakan nak buat ini semua bagus-bagus,” katanya.

“Apabila sampai kepada rancangan yang dikemukakan untuk menerjemahkan peruntukan setiap tahun, tak ada kena-mengena dengan rancangan Malaysia dan juga anjakan dasar yang dibuat.”

Beliau turut memberi amaran tentang sikap sambil lewa dalam kalangan birokrasi, dengan berkata maklum balas paling lazim didengar apabila idea baharu dicadangkan adalah ‘kita dah buat semua ini’ atau ‘kita dah ada dah’.

“Perangai ‘business as usual’ ini, kalau tidak dibuang di dalam sistem kerajaan, sistem sektor awam, sektor swasta, maka semua anjakan-anjakan ini akan hanya kekal di dalam dokumen lima tahun sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.