2 pegawai, 1 bekas pegawai SPRM dibebas tuduhan rompak warga China

2 pegawai, 1 bekas pegawai SPRM dibebas tuduhan rompak warga China

Hakim Izralizam Sanusi putuskan bahawa pihak pendakwaan gagal buktikan tuduhan rompakan.

Mahkamah KL
Mahkamah Sesyen KL bebas Haffiz Radzi, Fahmee Nor dan Azwan Asli daripada tuduhan merompak seorang ahli perniagaan warga China 4 tahun lepas.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan dua pegawai dan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada tuduhan merompak seorang ahli perniagaan warga China empat tahun lepas.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pegawai Haffiz Radzi dan Fahmee Nor, serta bekas pegawai Azwan Asli.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Kun Gao pada 10 Dis 2021, melibatkan wang tunai berjumlah RM952,690 dan 1,225 yuan, serta sebuah beg pakaian dan sebuah beg jenama Louis Vuitton di kediaman ahli perniagaan itu di Jalan Ampang.

Menurut mahkamah, ketiga-tiga tertuduh tidak menakut-nakutkan mangsa kerana tujuan kehadiran mereka adalah untuk menyiasat warga China itu berhubung kes pengubahan wang haram.

“Mangsa memberitahu mahkamah beliau tidak berasa takut (terhadap ketiga-tiga lelaki itu) kerana beliau tidak melakukan sebarang salah laku.

“Juga tiada keterangan menunjukkan mangsa diancam dengan sebarang senjata api oleh ketiga-tiga lelaki itu, walaupun mangsa mendakwa salah seorang daripada mereka membawa sepucuk pistol di dalam beg galasnya,” kata Izralizam, sambil menambah kewujudan pistol yang didakwa itu tidak dapat dibuktikan.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Zanyuin dan Azwan Asli dan Mohd Fahmee diwakili Dzulkifli Ahmad, manakala Muhamad Haffiz Mohd Radzi diwakili Azizzul Shariman Mat Yusof.

Peguam Phyllia Lim pula bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak ahli perniagaan warga China itu.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Dzulkifli berkata, pihaknya bersyukur dengan keputusan mahkamah tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.