
Pandikar berkata, beliau menyokong pendekatan Pengerusi GRS Hajiji Noor ‘selagi kerjasama itu menguntungkan GRS dari segi agihan kerusi’. Usno merupakan antara komponen gabungan berkenaan.
Katanya, Hajiji memberi jaminan GRS akan bertanding lebih 50 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, menurut laporan The Star.
“Bagi saya, ini pendirian selaras dengan semangat GRS, ‘Rumah Kita, Kita Jaga’,” katanya dipetik sebagai berkata.
Pandikar menjelaskan perubahan pendiriannya daripada kenyataan awal tahun ini, apabila beliau berkata Usno mungkin bertanding solo pada PRN, sekiranya terus dipinggirkan dalam GRS.
Beliau bersama rakan sejawatnya, Jeffrey Kitingan dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Yong Teck Lee dari Parti Maju Sabah (SAPP), sebelum ini turut mendesak GRS bergerak solo.
Hari ini, Pandikar berkata: “Saya akui bahawa saya telah menguatkan apa disuarakan Jeffrey bahawa sesiapa yang bekerjasama dengan parti Malaya adalah pengkhianat.”
Pandikar turut menyatakan ketika itu Usno telah diketepikan oleh beberapa pemimpin GRS selepas partinya menuntut kerusi untuk ditandingi pada PRN. Kebimbangannya itu telah mendorong satu pertemuan antara Hajiji dan presiden parti lain dalam GRS iaitu Parti Bersatu Sabah, Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Liberal Demokratik, dan Parti Cinta Sabah.
Hajiji juga merupakan presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).