
Ketua PKR Tuaran Razeef Rakimin berkata, kerajaan pada hari ini lebih kepada ‘mod defensif’ berbanding ‘mod menyerang’.
“Tiada istilah kita sudah jadi kerajaan maka kena ‘slow’ sikit. Sepatutnya perlu lebih agresif dari sebelum ini apabila sudah jadi kerajaan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan bekas timbalan presiden Rafizi bahawa pimpinan baharu PKR perlu mengambil strategi politik lebih agresif jika ingin memastikan kemenangan dalam PRU16.
Menurut Rafizi, dua perkara utama perlu diberi tumpuan antaranya ofensif menonjolkan kehebatan kerajaan yang menggamit jiwa rakyat, serta menyerang pentadbiran atau skandal melibatkan pemimpin pembangkang.
“Apa yang kita ada hari ini hanyalah pemimpin yang tahu ‘menyindir’ pembangkang seperti kebudak-budakan,” kata Razeef.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Izuan Kasim berpendapat PKR selaku tidak boleh dilihat dalam peranan hanya menjawab tetapi turut ‘menyerang’ dalam bentuk penerangan.
“Pilihan raya tidak pernah hanya tertumpu pada satu strategi untuk menang.
“Tetapi menjadi kerajaan semestinya perlu ofensif dalam menyebarkan segala inisatif dan program yang telah dilakukan untuk rakyat,” katanya.
Pada PRU15 lalu, Pakatan Harapan memenangi 82 kerusi yang mana PKR memperoleh 31.
Walaupun ia menandakan penurunan sebanyak 16 kerusi daripada 47 pada PRU14, PKR kekal sebagai parti kedua terbesar dalam gabungan itu, menyusuli DAP.