Mansuh asrama sekolah agama, kata aktivis susulan kes dera kanak-kanak

Mansuh asrama sekolah agama, kata aktivis susulan kes dera kanak-kanak

Pengasas Pertubuhan Perlindungan Kanak-kanak Nazir Ariff berkata pendidikan agama seharusnya melalui kelas harian berstruktur.

Kes penderaan dan serangan seksual membabitkan sekolah agama semakin meningkat sejak kebelakangan ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis perlindungan kanak-kanak mencadangkan asrama di sekolah agama dimansuhkan bagi menangani kes penderaan dan pengantunan kanak-kanak.

Pengasas Pertubuhan Perlindungan Kanak-kanak, Nazir Ariff, berkata asrama yang tidak mempunyai pemantauan sewajarnya adalah tidak selamat, dengan pelaku sering kali terdiri daripada guru atau orang dewasa dikenali mangsa.

“Kalau anda tak boleh awasi mereka dengan baik, tutup saja. Mereka (kanak-kanak) tak selamat dalam asrama ini,” katanya kepada FMT.

Katanya, pendidikan berasaskan agama seharusnya ditawarkan melalui kelas harian berstruktur yang membolehkan kanak-kanak pulang ke rumah setiap hari, bukan melalui sekolah berasrama penuh.

“Ajaran agama masih boleh diberikan, tetapi biarlah kanak-kanak pulang ke rumah. Terlalu ramai kanak-kanak dihantar ke sekolah ini kerana ia percuma, bukan kerana ia selamat,” katanya.

Beliau mengulas beberapa kes penderaan dan pengantunan seksual kanak-kanak membabitkan warden sekolah agama.

Pada 30 Julai lalu, seorang warden asrama pusat pengajian al-Quran berusia 38 tahun dihukum penjara enam tahun serta empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas 12 pertuduhan amang seksual fizikal dan liwat terhadap tujuh pelajar lelaki berusia sembilan dan 12 tahun.

Pengasas Pertubuhan Perlindungan Kanak-kanak Nazir Ariff berkata ramai mangsa tidak melaporkan penderaan kerana takut, malu atau tidak percaya kepada sistem.

Di Selangor, empat pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah, berusia 13 dan 14 tahun, didapati mengalami kecederaan yang konsisten dengan penderaan dan serangan seksual. Mereka melarikan diri dan kemudian ditemui berkeliaran di sebuah kampung berhampiran.

Sejak itu, Jabatan agama Islam Selangor memberi amaran mana-mana sekolah agama yang didapati terlibat kesalahan sebegitu boleh ditutup.

“Ini bukan kejadian terpencil. Ia berlaku di beberapa negeri. Tetapi sikap pelbagai pihak yang tidak bersuara amat ketara, terutama apabila melibatkan agama,” kata Nazir.

Beliau berkata, ramai kanak-kanak tidak melaporkan penderaan kerana takut, malu atau tidak percaya kepada sistem.

Katanya, kenaikan kes yang dilaporkan kebelakangan ini tidak semestinya menunjukkan peningkatan kejadian penderaan, tetapi menunjukkan kesediaan mangsa untuk bersuara semakin meningkat.

“Mangsa atau orang awam rasa lebih selesa melaporkan penderaan sekarang. Mereka percaya polis dan pegawai kebajikan akan bertindak. Itulah sebabnya lebih banyak kes didedahkan bukan kerana kes tiba-tiba meningkat,” katanya.

Nazir turut memberi amaran norma budaya seperti bersalaman boleh disalah guna.

“Salam yang ringkas pun boleh jadi alat pengantunan kanak-kanak. Kita mesti ajar kanak-kanak tidak mengapa untuk menolak jika mereka rasa tak selesa, walaupun kepada orang tua,” katanya.

Beliau menggesa, pendidikan seks mengikut usia diperkenalkan semula, diajar bawah nama subjek yang neutral, bagi membantu kanak-kanak memahami sentuhan selamat dan tidak selamat, keizinan, dan sempadan peribadi.

“Jangan kita berbalah tentang istilah. Fokuslah kepada mengajar kanak-kanak apa yang salah dan beri mereka alat untuk bersuara,” katanya.

Polis merekodkan 18,326 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak antara 2018 dan November 2023, dengan 89% daripadanya melibatkan rogol, serangan seksual fizikal, atau sumbang mahram.

Bagaimanapun, hanya kira-kira 70% daripada kes penderaan seksual kanak-kanak yang dilaporkan membawa kepada pendakwaan; kebanyakan kes sering terhalang oleh kekurangan bukti atau mangsa enggan bekerjasama.

Malaysia kini berada di kedudukan ke-23 daripada 60 dalam ‘Out of the Shadows Index’, yang mengukur sejauh mana keberkesanan sesebuah negara mencegah dan bertindak balas terhadap penderaan seksual kanak-kanak dari segi undang-undang dan pelaksanaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.