Kerajaan terus pertahan, lindung hak Sabah, kata PM

Kerajaan terus pertahan, lindung hak Sabah, kata PM

Kerajaan persekutuan juga akan terus melindungi kedaulatan negara daripada sebarang pencerobohan sama ada di darat mahupun laut.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 di Kota Kinabalu. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan persekutuan bertekad terus mempertahankan dan melindungi hak Sabah sepenuhnya kerana negeri itu sebahagian daripada Malaysia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketika berucap merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025, Anwar berkata kerajaan persekutuan juga akan terus melindungi kedaulatan negara daripada sebarang pencerobohan sama ada di darat mahupun di laut.

Beliau turut menegaskan Malaysia bersedia untuk membawa isu berkaitan hak Sabah dan negara ini ke peringkat perbicaraan jika keadaan memerlukan.

“Mengapa kita lakukan ini? kerana ini negara kita, Sabah ini Malaysia. Kita belanja puluhan juta ringgit, mungkin seratus juta (ringgit) untuk pertahankan hak. Kita tidak benarkan satu inci pun laut atau darat diceroboh.

“Di mana-mana, di Mahkamah Sepanyol, antarabangsa kita akan lawan maksimum untuk pertahankan hak Sabah kerana Sabah ini (adalah) sebahagian daripada Malaysia,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu serta Timbalan Arthur Joseph Kurup.

Anwar berkata, kerajaan Madani juga komited dalam memacu pembangunan Sabah serta menyelesaikan tuntutan bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi pelbagai inisiatif dan peruntukan, sambil menekankan kepentingan untuk terus memelihara hubungan erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, antara tuntutan telah diselesaikan termasuk pemberian khas interim untuk Sabah yang dinaikkan daripada RM300 juta kepada RM600 juta tahun ini dan peruntukan RM10 bilion bagi menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

“Tertangguh (Lebuhraya Pan Borneo Sabah) dengan kerajaan sebelum ini tetapi kita teruskan bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Mungkin mereka belum nampak, belum siap (Lebuhraya Pan Borneo Sabah), tapi sekurang-kurangnya kita dah luluskan dan pakej kerja berjalan,” katanya.

Mengenai aspek utiliti, Anwar berkata kerajaan persekutuan menyerahkan pengurusan bekalan elektrik sepenuhnya kepada kerajaan negeri dengan subsidi berterusan selama tujuh tahun hingga 2030 berjumlah RM3.54 bilion.

Bagi menyelesaikan isu bekalan air yang masih berlarutan, kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM300 juta, selain projek bawah RM50 juta kini diserahkan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.