‘Himpunan Honggaq’ mahu desak selesai 10 isu, bukan perjatuh Sanusi

‘Himpunan Honggaq’ mahu desak selesai 10 isu, bukan perjatuh Sanusi

Penganjur berkata himpunan itu bagi menuntut menteri besar Kedah menyelesaikan masalah rakyat.

Pengarah Sekretariat Suara Anak Kedah, Sulaiman Ibrahim, berkata himpunan itu bukan mahu tuntut Sanusi Nor letak jawatan, tetapi mahu menteri besar itu selesai isu dijanjikan kepada rakyat.
PETALING JAYA:
‘Himpunan Honggaq Kedah’ yang dijadual pada 24 Ogos di Wisma Darul Aman menekankan 10 isu utama yang dituntut diselesaikan kerajaan Kedah, bukannya bertujuan menurunkan Menteri Besar Sanusi Nor.

Pengarah Sekretariat Suara Anak Kedah, Sulaiman Ibrahim, berkata himpunan itu bagi mendesak Sanusi menyelesaikan masalah rakyat.

“Kami yang tidak memegang sebarang jawatan politik berhak menegur dan mendesak kerajaan negeri, terutama kepada Sanusi agar menyelesaikan masalah rakyat.

“Sebanyak 10 isu utama akan diumumkan pada hari himpunan ketika penyerahan memorandum. Buat masa ini, kami tidak akan dedahkan isi kandungannya bagi mengelak ia dipolitikkan,” katanya menurut Berita Harian di Alor Setar.

Menurut Sulaiman, dua daripada isu mahu dibangkitkan mungkin memerlukan campur tangan siasatan bebas termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Kami hanya beri bayangan bahawa sekurang-kurangnya dua isu itu membabitkan saranan kepada kerajaan negeri untuk membabit siasatan bebas atau RCI. Perinciannya hanya akan diumumkan pada 24 Ogos,” katanya.

Katanya, himpunan yang didakwa berniat mendesak Sanusi meletak jawatan sebagai menteri besar dinafikan pihaknya.

“Kami tak mahu dia turun dahulu, kami hanya desak beliau selesaikan isu yang dijanjikan kepada rakyat. Kalau beliau gagal, biarlah rakyat sendiri menilai pada PRU16 nanti.

“Sekurang-kurangnya dua tahun setengah sebelum PRU16, mereka kena tunai janji yang dibuat kerana kebanyakan isu dihebahkan dalam media sosial tidak ada kena mengena dengan isu yang kami nak bawa pada himpunan ini.”

Mengulas lanjut, Sulaiman menjelaskan penggunaan nama ‘honggaq’ diambil daripada dialek Kedah membawa maksud ‘menggoncang’.

“Kita bukan nak mencabut (kerajaan), kita cuma nak goncang supaya mereka sedar dan bertindak. Ini bukan serangan peribadi kepada menteri besar, tetapi teguran terhadap pentadbiran beliau,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya mematuhi undang-undang serta tidak membawa kanak-kanak atau sebarang objek berbahaya semasa perhimpunan.

Katanya, himpunan itu bukanlah seperti perhimpunan yang bermotifkan politik untuk menjatuhkan pemimpin secara terbuka seperti yang berlaku di peringkat nasional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.