Tak tahan bunyi tangis, ibu bapa angkat disyaki dera bayi sampai maut

Tak tahan bunyi tangis, ibu bapa angkat disyaki dera bayi sampai maut

Polis berkata kematian bayi tujuh bulan itu berpunca penderaan dan penganiayaan berterusan sejak sebulan lalu.

baby bayi
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata bayi perempuan berkenaan diserahkan kepada pasangan itu oleh wanita Indonesia.
PETALING JAYA:
Tidak tahan mendengar tangisan tanpa henti disyaki motif ibu bapa angkat mendera bayi perempuan tujuh bulan sehingga retak tengkorak sebelum disahkan maut.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata motif tersebut diperoleh hasil soal siasat ke atas pasangan suami isteri berkenaan.

Beliau berkata, hasil bedah siasat turut mendapati ada beberapa kecederaan pada keseluruhan badan mangsa terutama pada bahagian kepala iaitu retak tengkorak.

Katanya, kematian mangsa berpunca daripada penderaan dan penganiayaan yang berterusan sejak sebulan lalu.

“(Kejadian) berpunca apabila mangsa dipercayai menangis tidak henti membuatkan ibu angkat berasa tertekan lalu menganiaya mangsa,” katanya kepada Kosmo.

Menurut laporan itu, suspek lelaki berusia 50 bekerja sebagai jurujual, manakala isterinya, 38, suri rumah.

Dilaporkan sebelum ini, pasangan suami isteri direman tujuh hari sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan kes kematian bayi perempuan itu yang ibu kandungnya berasal dari Indonesia, di sebuah kondominium di Cheras.

Bayi itu dipercayai diserahkan kepada suspek sejak 18 Jun lalu, sebelum ibu kandungnya pulang ke negara asal.

Polis menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa angkat bayi itu kira-kira 9.34 malam, 30 Julai lalu.

Lelaki itu memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di rumah tanpa sebab diketahui. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.