Suspek tikam polis kerana bawa dadah

Suspek tikam polis kerana bawa dadah

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata suspek bertindak agresif dipercayai cuba mengelak diperiksa polis.

Suspek ditahan polis selepas menikam anggota polis berpangkat koperal, Mohd Nadzri Sudiman di Pasar Pudu, Jalan Yew Khamis lalu.
PETALING JAYA:
Suspek yang menikam seorang anggota polis di Pasar Pudu, Jalan Yew, Khamis lalu dipercayai membawa dadah ketika ditahan untuk pemeriksaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata suspek yang memiliki 14 rekod berkaitan dadah dan jenayah bertindak agresif dipercayai cuba mengelak untuk diperiksa.

Menurutnya, mangsa yang juga anggota polis berpangkat koperal, Mohd Nadzri Sudiman, 35, kini dalam keadaan stabil.

“Mangsa menahan suspek untuk pemeriksaan, kita percaya suspek bertindak menikam mangsa kerana suspek membawa dadah ketika ditahan,” katanya menurut Sinar Harian selepas melawat anggota Balai Polis Pudu itu di Hospital Canselor Tunku Muhkriz, Cheras.

Beliau berkata, Nadzri masih lemah dan dirawat di unit rawatan rapi kardiotorasik selepas menjalani pembedahan.

“Dia masih dalam pemantauan doktor, insya Allah, kalau ikut doktor, dalam masa seminggu atau dua minggu ini dia akan pulih.”

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 56 tahun yang menikam seorang anggota polis Khamis lalu dipercayai bawah pengaruh dadah dan hasil pemeriksaan terhadapnya turut menemui heroin.

Suspek direman tujuh hari untuk siasatan bawah Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan serta 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ayob Khan berkata, Nadzri tidak menggunakan kamera badan ketika sedang melakukan rondaan jenayah bersama rakan setugasnya.

Menurutnya, pemakaian kamera badan amat penting ketika penugasan dan pihaknya meminta semua anggota, khasnya Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta Unit Kereta Peronda (MPV) dibekalkan dengan alat itu.

“Setakat ini, di seluruh negara sebanyak 7,648 unit kamera badan untuk fasa satu dan fasa dua 10,000 unit lagi akan diperoleh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.