
Bekas perdana menteri yang juga presiden Bersatu menyifatkan kenyataan itu tidak berasas dan pembohongan semata-mata.
“Ada baru-baru ini satu kenyataan dikeluarkan. Kenapa dia (Hajiji) khianati kita, kononnya dia kata bahawa saya tidak sokong blok Borneo?
“Sejak bila saya kata saya tak sokong blok Borneo? Saya pun tak tahu siapa blok itu, kerana sejak awal-awal lagi saya sudah berada di Sabah ini,” katanya ketika berucap dalam majlis jelajah rakyat PN di Tawau, semalam, menurut Sinar Harian.
Pada 27 Julai lalu, Hajiji berkata perkataan ‘master’ digunakan pemimpin besar kerajaan terdahulu selain tidak menyukai blok Borneo menjadi faktor beliau menyokong kerajaan perpaduan diterajui Anwar Ibrahim.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendedahkan beliau terkejut dengan kata diucapkan pemimpin berkenaan yang tidak dinamakan.
“Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya bersama Masidi Manjun dan Jeffrey Kitingan ketika berjumpa seorang pemimpin besar di sana suatu masa dahulu. Orang itu menyatakan bahawa mereka ialah ‘master’. Dia tidak suka dengan blok Borneo, dia tidak mahu kita berkongsi pengalaman dan cerita dengan negeri jiran kita, Sarawak.
“Saya amat terkejut dengan kata-katanya. Lama saya berfikir, apa erti dan niat beliau menyatakan demikian. Fikir punya fikir, terus tawar hati saya kepada mereka. Akhirnya, setelah berfikir panjang, saya membuat keputusan membawa GRS menyokong kerajaan perpaduan,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Persidangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kehadirannya secara konsisten di Sabah sejak dahulu membuktikan komitmen terhadap pembangunan dan kepentingan negeri tersebut.
“Kalau saya nak ceritakan satu masa yang agak lalu, ketika Umno masuk ke Sabah, waktu itu sampai ke hari ini saya masih berada di Sabah kerana saya yakin bahawa Sabah ada keistimewaan, ada kekayaan muka bumi yang boleh digunakan untuk dibangunkan, untuk menjadikan Sabah ini negeri yang maju dan berjaya.
“Sejak bila saya katakan saya tak sokong Sabah ataupun tak sokong blok Borneo? Bohong,” katanya.
Beliau berkata, episod ‘pembohongan’ itu menjadi petunjuk kepada rakyat Sabah sudah tiba masa untuk membina semula kekuatan dan mengembalikan maruah negeri yang ‘terkorban’ akibat pengkhianatan.