
Presiden SA Vigneswaran, berkata keputusan itu dibuat atas dasar kepentingan MIC dan bukan kerana tekanan mana-mana pihak, sambil menegaskan ia juga demi membela nasib masyarakat India.
“Kita sudah buat keputusan bahawa seseorang pemimpin harus membuat keputusan mengikut kebaikan parti. Maka, saya telah membuat keputusan untuk membuka ruang perbincangan dengan parti-parti lain.
“Kalau itu akan memberi kebaikan kepada parti, saya akan lakukan apa sahaja yang perlu. Demi masyarakat India jugalah,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen MIC Perak di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu, di Sungai Siput. Hadir sama Pengerusi MIC Perak M Ramasamy.
Dalam pada itu, Vigneswaran turut menegaskan keputusan itu diharap tidak dipertikaikan mana-mana pihak.
Beliau juga tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kedudukan MIC sekarang.
“Saya ini presiden parti. Saya tidak salahkan orang. Semua orang pun dalam keadaan susah. Tapi, mereka juga tidak boleh salahkan kita.
“Kalau kita lemah, kita terima. Tapi, kita akan buat keputusan yang munasabah demi memperkasakan parti ini.”
Katanya, walaupun tiada pelawaan rasmi daripada mana-mana parti lain setakat ini, beliau terbuka untuk sebarang rundingan.