Kehilangan pendapatan Petronas boleh gugat penarafan kredit negara, kata Rafizi

Kehilangan pendapatan Petronas boleh gugat penarafan kredit negara, kata Rafizi

Bekas menteri Rafizi Ramli akui Sarawak berhak dapat lebih tapi beri amaran rundingan gas tidak jejas pelaburan, bebankan Petronas atau gugat kestabilan ekonomi.

Rafizi Ramli
Malaysia kini bayar kira-kira RM48 bilion setahun untuk faedah hutang — jumlah yang boleh melonjak ke RM60 bilion jika penarafan kredit jatuh akibat ketidaktentuan dalam industri minyak dan gas, kata Rafizi Ramli.
KUALA LUMPUR:
Rundingan antara Petronas dan Petros mengenai pemilikan dan pengagihan hasil gas perlu diurus dengan penuh cermat, kata bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli, dengan amaran bahawa pelaksanaan yang cuai boleh mengundang padah kepada ekonomi secara keseluruhan.

Rafizi berkata, jika tuntutan Sarawak terhadap hasil gas dilayan tanpa mempertimbangkan struktur kewangan sedia ada secara menyeluruh, Petronas berisiko kehilangan antara RM15 bilion hingga RM20 bilion setahun.

“Kehilangan ini bukan angka kecil,” katanya.

Pandangan ini disuarakan Rafizi dalam episod terbaru audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’, membincangkan isu Petros, Petronas dan kesan pada ekonomi.

“Petronas ketika ini menyumbang sekitar RM30–35 bilion setahun kepada kerajaan persekutuan. Jika jumlah itu berkurangan, kesannya langsung kepada kemampuan negara membiayai perkhidmatan asas.”

 Peranan Petronas dalam kewangan negara

Petronas merupakan penyumbang utama kepada hasil negara. Dividen tahunan syarikat itu membiayai pelbagai perkhidmatan awam seperti sekolah, hospital, prasarana, bayaran pencen, dan gaji kakitangan kerajaan — termasuk di Sarawak.

“Walaupun duit itu tak masuk poket kerajaan negeri, sekolah, hospital, jalan raya di Sarawak dibina guna dana persekutuan hasil dividen Petronas,” kata Rafizi.

“Kalau Petronas hilang RM20 bilion, syarikat itu pun akan hilang kemampuan membayar RM35 bilion dividen kepada kerajaan persekutuan.”

Kesan langsungnya penarafan kredit negara boleh merosot, kata beliau, dan bermakna kos pinjaman kerajaan akan meningkat secara mendadak. Menurut Rafizi, Malaysia kini membayar kira-kira RM48 bilion setahun untuk faedah hutang — jumlah yang boleh melonjak ke RM60 bilion jika penarafan kredit jatuh akibat ketidaktentuan dalam industri minyak dan gas.

 Undang-undang dan tuntutan Sarawak

Isu ini menjadi rumit kerana pertindihan undang-undang antara Akta Pembangunan Petroleum dan Ordinan Perlombongan Minyak. Sarawak berhujah ia memiliki sempadan maritim sehingga 200 batu nautika berdasarkan peta dan hak sedia ada sebelum menyertai Malaysia pada 1963.

Sebaliknya, undang-undang persekutuan seperti Akta Pelantar Benua menyatakan hak ke atas hasil minyak dan gas di luar tiga batu nautika terletak bawah bidang kuasa persekutuan, oleh itu milik Petronas.

Rafizi menegaskan, rakyat Sarawak memang berhak mendapat lebih banyak hasil daripada sumber bumi mereka namun pendekatan untuk menuntut hak itu perlu dibuat secara berhemah.

“Kalau pelabur lihat negara tidak stabil dari segi dasar minyak dan gas, mereka akan tarik diri. Industri ini memerlukan pelaburan awal berbilion ringgit. Kalau pelabur rasa cuaca politik tak menentu, mereka akan pergi ke Indonesia, Surinam, atau tempat lain,” katanya.

Baru-baru ini, syarikat minyak dan gas antarabangsa ConocoPhillips dilaporkan menarik diri daripada usaha carigali di Sarawak, dipercayai susulan ketidaktentuan dalam landskap dasar dan perundangan.

Selain itu, Shell memfailkan permohonan injunksi terhadap Petros, berhubung isu hak pengurusan dan pemilikan sumber gas.

Perkembangan ini menandakan terdapat pertindihan bidang kuasa antara Petronas, Petros dan kerajaan Sarawak yang kini menjadi perhatian dalam kalangan pelabur industri. Walaupun rundingan masih berjalan, tindakan undang-undang oleh pemain antarabangsa menunjukkan betapa perlu penyelesaian yang lebih jelas dan tersusun bagi memastikan keyakinan pelabur tidak terjejas.

Rafizi memberi amaran pelabur yang telah melabur berdasarkan perjanjian jangka panjang boleh menarik diri jika kontrak asal berubah secara unilateral. Ini akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia secara keseluruhan, katanya.

Beliau memberi contoh Ordinan Pengagihan Gas yang memberikan hak penuh kepada kerajaan Sarawak ke atas hasil gas. Ini menyebabkan urusan pengurusan dan pengedaran kini dikendalikan oleh syarikat milik negeri, Petros, meskipun kontrak jual beli gas sebelum ini dimeterai antara Petronas dengan pembeli antarabangsa seperti Jepun dan China.

Menurutnya, kontrak-kontrak tersebut bersifat jangka panjang — lazimnya mencecah 30 tahun — dan segala perancangan kos, pelaburan, serta unjuran keuntungan telah dikira sejak awal lagi.

“Berdasarkan unjuran itulah pelabur bersetuju untuk melabur sehingga RM6 bilion bagi membina loji pemisahan gas dan infrastruktur berkaitan seperti yang berlaku di Bintulu,” katanya.

Bagaimanapun, Rafizi berhujah risiko berbangkit apabila struktur perjanjian berubah secara tiba-tiba, terutama jika tuntutan tambahan dibuat selepas pelaburan dilaksanakan.

“Bayangkan kalau tiba-tiba ada pihak minta tambahan RM15 bilion daripada perjanjian asal — dari mana nak cari duit? Kalau ia perlu ditanggung Petronas, pembeli antarabangsa pun mungkin membantah,” katanya.

Beliau berkata, perubahan mendadak tanpa rundingan menyeluruh boleh menjejaskan persepsi keadilan kontrak dan mendorong pelabur menarik diri atau enggan membuat pelaburan baharu.

“Masa kita bincang dulu, benda ni tak ada. Tiba-tiba sekarang tambah syarat. Itu yang pelabur akan persoalkan.”

Katanya, jika Petronas diletakkan di tengah-tengah situasi yang tidak menentu, kesannya bukan sahaja kepada syarikat itu tetapi keseluruhan ekosistem kewangan negara.

Politik tak boleh abai realiti ekonomi

Rafizi yang pernah berkhidmat di Petronas dalam portfolio antarabangsa menegaskan rundingan antara kerajaan negeri dan Petronas harus menghasilkan penyelesaian menang-menang.

“Saya setuju Sarawak patut dapat lebih. Tapi kita kena cari cara yang tidak jejaskan industri, tidak jejaskan kemampuan Petronas, dan tidak jejaskan negara,” katanya.

Katanya, penstrukturan semula hasil minyak perlu dilakukan melalui pelaburan pembangunan — bukan sekadar ‘bagi duit’ — dan pastinya bukan dengan meminggirkan struktur ekonomi negara yang sedia tertekan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.