Kedah perlu sahut tindakan tangani kenaikan kes jenayah wanita, budak

Kedah perlu sahut tindakan tangani kenaikan kes jenayah wanita, budak

Exco Kedah berkata pencegahan awal, pengesanan komuniti, intervensi profesional dan sokongan keluarga perlu digerak dengan kerjasama pelbagai pihak.

dera
Tekanan ekonomi dan sosial antara faktor penyumbang kepada kes jenayah membabitkan kanak-kanak, kata exco Kedah.
PETALING JAYA:
Peningkatan kes jenayah membabitkan wanita dan kanak-kanak menunjukkan semakin ramai berani tampil membuat laporan, justeru menuntut kerajaan memastikan ia disusuli tindakan di peringkat awal, menurut exco Kedah.

Atas kesedaran itu, Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan Halimaton Shaadiah Saad berkata pencegahan awal, pengesanan komuniti, intervensi profesional serta sokongan keluarga perlu digerakkan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Halimaton Shaadiah Saad.
Halimaton Shaadiah Saad.

Halimaton mengambil contoh kes membabitkan kanak-kanak, mengatakan pihaknya bekerjasama dengan pegawai kebajikan masyarakat daerah (bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat atau JKM) dan pasukan kebajikan kanak-kanak atau PKKK (bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat) bagi menjalankan saringan awal dan intervensi setempat dalam ‘komuniti berisiko’.

‘Komuniti berisiko’ merujuk pada kelompok yang mencatatkan bilangan kes tertinggi. Halimaton percaya tekanan ekonomi dan sosial antara faktor penyumbang.

Menurutnya, kebanyakan kes yang dirujuk kepada JKM melibatkan pelaku atau saksi daripada keluarga yang tidak stabil, seperti akibat perceraian atau penjaga yang uzur.

“Banyak kes jenayah kanak-kanak dikesan berlaku di kawasan flat kos rendah, rumah setinggan dan pinggir bandar, di mana ibu bapa perlu bekerja lebih masa bagi mengatasi masalah kewangan keluarga.

“Ketiadaan pengawasan berterusan menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada pengaruh luar dan mencari perhatian atau sokongan daripada rakan sebaya,” katanya kepada FMT.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada sebelum ini dilapor berkata statistik kes jenayah membabitkan wanita dan kanak-kanak di Kedah mencatatkan peningkatan, dengan purata 42 kes dilaporkan setiap bulan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya 16 kes sebulan pada 2024.

Halimaton berkata, semakin berani ramai tampil membuat laporan adalah perkembangan positif kerana ia membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Beliau memaklumkan JKM akan menambah baik pengisian program Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) khususnya dalam pendedahan berkaitan perlindungan diri, kesihatan mental dan pemerkasaan kanak-kanak, dalam pendekatan jangka panjangnya, dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, pejabat kesihatan daerah dan NGO.

Usaha pencegahan akan turut dilaksanakan melalui bimbingan dan advokasi dalam kalangan ibu bapa dan penjaga, dengan penekanan pada modul keibubapaan, komunikasi berkesan dan pengurusan tekanan keluarga.

Kerajaan negeri dan agensi berkaitan turut berhasrat meningkatkan latihan dan sokongan teknikal kepada anggota PKKK, dengan memanfaatkan sumber komuniti seperti guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), imam dan sukarelawan, yang akan dibimbing secara berkala oleh pegawai JKM.

Halimaton turut menarik perhatian kepada program advokasi sekolah dan komuniti yang sedang dilaksanakan dengan sasaran 20 sekolah terpilih.

“Program ini memberi tumpuan kepada pencegahan awal melalui pendedahan kepada pelajar, guru dan ibu bapa mengenai isu seperti jenayah seksual, buli, eksploitasi siber dan hak perlindungan diri,” katanya.

“Melalui sesi ceramah, aktiviti interaktif dan penglibatan langsung, kanak-kanak lebih bersedia mengenali sempadan keselamatan serta tahu bagaimana dan kepada siapa mereka boleh mendapatkan bantuan.”

Dalam pada itu, katanya, Majlis Perwakilan Kanak-kanak (MPKK) Kedah (bawah JKM) pula memberi ruang kepada kanak-kanak menyuarakan pandangan berkaitan isu keselamatan, manakala Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (juga bawah JKM) akan menyelaras tindakan terhadap kes penderaan dan pengabaian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.