
Dalam serbuan pada 21 Julai lalu, polis turut merampas 61.3kg methampethamin dan 51.3 gram pil ekstasi bernilai RM2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata polis sebelum itu menahan sebuah kereta mewah di Parit Pulai di Parit Jawa, Muar dan menahan seorang lelaki.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan 51 bungkusan plastik berwarna hijau, biru dan merah disyaki methamphetamine.
“Serbuan seterusnya dilakukan di dalam rumah dan sekitar kawasan Parit Pulai sebelum sepasang suami isteri ditahan. Lima lagi suspek termasuk seorang warga asing ditahan di Parit Bakar, Muar.
“Selain itu, seorang lagi ditahan di Batu Pahat dipercayai ketua sindiket, manakala suspek terakhir ditahan di sebuah rumah di Cheras.
“Hasil pemeriksaan menemui 17 paket plastik mengandungi methamphetamine seberat 10kg dan 105 pil ecstasy anggaran berat 51 gram,” katanya pada sidang media hari ini, menurut Berita Harian.
Beliau berkata sindiket terbabit mula aktif sejak Oktober lalu dan menjadikan rumah teres sebagai lokasi penyimpanan dadah sebelum dipasarkan ke pasaran antarabangsa melalui jalan laut.
Katanya, suspek mengaku menerima upah antara RM3,000 hingga RM15,000 sebulan untuk melakukan kegiatan itu.
“Ujian saringan air kencing mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis ketamin, methamphetamine dan ganja.
“Semakan mendapati tiga daripada mereka memiliki rekod lampau berkaitan jenayah senjata api dan dadah. Kita turut menyita beberapa kenderaan, wang tunai, beg dan jam tangan mewah bernilai RM725,655 dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM2.7 juta.
“Sindiket ini melibatkan beberapa kumpulan di mana mereka mendapatkan dadah dan menyimpan di Lembah Klang sebelum sebahagiannya diedarkan ke Johor,” katanya.