Perhimpunan pembangkang: Kerajaan diingat jangan salah guna Akta Hasutan

Perhimpunan pembangkang: Kerajaan diingat jangan salah guna Akta Hasutan

Pemangku Ketua Polis KL Mohamed Usuf Jan Mohamad dilaporkan berkata pihaknya akan meneliti jika terdapat ucapan 3R dan hasutan dalam perhimpunan, minggu lalu.

Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali pada sidang media bersama Setiausaha Agung Muda Ainie Haziqah.
PETALING JAYA:
Kerajaan diingatkan tidak menyalahgunakan Akta Hasutan terhadap rakyat selepas polis memaklumkan akan meneliti ucapan berbaur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) dalam perhimpunan pembangkang di Dataran Merdeka, minggu lalu.

Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali berkata walaupun siasatan adalah hak pihak berkuasa, namun beliau yakin ia akan menjurus kepada Akta Hasutan.

“Tak nampak pun bayang nak mansuhkan (Akta Hasutan), malah sekarang ini menyalahgunakan lagi sekali ke atas rakyat,” katanya dalam sidang media di ibu negara ketika mengulas penahanan beberapa individu menyertai perhimpunan pada Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan Mohamad dilaporkan berkata pihaknya akan meneliti jika terdapat ucapan 3R serta hasutan dalam himpunan itu.

Isnin lalu Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mengesahkan penahanan Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali Chegubard bagi membantu siasatan berhubung tindakan membawa dan menyebat patung menyerupai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam perhimpunan minggu lalu.

Ditanya sama ada tindakan Chegubard itu satu kesalahan, Rafique berkata, ia bergantung kepada siasatan polis dan keputusan Jabatan Peguam Negara.

“Adakah meletakkan kangkung dalam mulut Najib Razak itu tidak melanggar undang-undang? Adakah membakar buku Tunku Abdul Rahman dulu tidak melanggar undang-undang? Adakah memijak poster Dr Mahathir dulu tidak melanggar undang-undang?

“Jadi, mungkin soalan itu (boleh) tanya balik kepada mereka dalam kerajaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.