Majikan digesa patuhi perintah gaji minimum RM1,700

Majikan digesa patuhi perintah gaji minimum RM1,700

Kesuma berkata majikan gagal patuhi pembayaran gaji minimum boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap pekerja, menurut Kesuma.

office
Pelaksanaan gaji minimum antara usaha kerajaan untuk meningkatkan perlindungan dan kebajikan semua golongan pekerja, menurut Kementerian Sumber Manusia.
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menggesa majikan mematuhi undang-undang pelaksanaan perintah gaji minimum menetapkan kadar baharu sebanyak RM1,700 sebulan bermula hari ini.

Kesuma berkata arahan itu khusus bagi majikan menggajikan kurang daripada lima orang pekerja dan tidak menjalankan aktiviti profesional seperti diklasifikasikan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) 2020.

“Majikan gagal mematuhi pembayaran gaji minimum, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kesuma, langkah berkenaan berkuat kuasa serta-merta seiring pewartaan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2025, yang turut memperluaskan pelaksanaan gaji minimum kepada golongan ‘pekerja kontrak perantisan’.

Katanya, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan perlindungan dan kebajikan semua golongan pekerja.

Kementerian Sumber Manusia menerangkan pelaksanaan perintah gaji minimum menetapkan kadar baharu sebanyak RM1,700 sebulan bermula hari ini.

“Kontrak perantisan adalah merujuk kepada pekerja seseorang majikan yang memperakui akan mengambil orang itu bekerja dan melatih mereka secara sistematik untuk suatu tred.

“Tempoh latihan adalah di antara enam bulan hingga dua puluh empat bulan dan dalam tempoh tersebut, perantis itu terikat untuk bekerja bersama majikan tersebut,” katanya.

Kesuma turut mengingatkan mana-mana majikan yang membayar lebih daripada kadar minimum tidak dibenarkan menurunkan kadar itu.

Katanya, semua majikan perlu mematuhi undang-undang tersebut yang kini dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTK Sabah) dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.