Mayat ditemukan di tepi landasan KTM maut dijerut

Mayat ditemukan di tepi landasan KTM maut dijerut

Bedah siasat dapati terdapat kesan jerutan pada leher mangsa, kata polis.

mayat tangan kaki terikat
Orang awam menemukan mayat seorang lelaki yang kaki dan tangannya terikat berhampiran landasan KTM Kampung Sungai Serian di Hulu Selangor semalam. (Gambar PDRM)
KUALA LUMPUR:
Mayat lelaki yang ditemukan berhampiran landasan KTM Kampung Sungai Serian di Hulu Selangor semalam maut akibat dijerut dengan tali, menurut hasil bedah siasat.

“Terdapat kesan jerutan pada leher mangsa dengan menggunakan tali dan kesan jerut disyaki sama dengan tali (seperti rantai) yang dipakai pada leher mangsa,” kata Ketua Polis Hulu Selangor Ibrahim Husin dalam kenyataan, lapor Bernama.

Setakat ini, identiti mangsa belum diketahui dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tambahnya.

Dilaporkan semalam mayat yang sudah mula mereput itu ditemukan orang awam di tepi landasan KTM itu kira-kira 10.30 pagi semalam.

Mayat itu ditemukan dalam keadaan kaki dan tangannya terikat, serta kepalanya dibalut kain dan dilekatkan dengan pita pelekat hitam dan putih.

Ibrahim sebelum ini berkata, berdasarkan siasatan awal, mayat itu dipercayai dicampak dari jambatan Kampung Sungai Serian setinggi 11.15m.

Pemeriksaan mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih empat hari dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada badannya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Mohamad Fadli Abdul Aziz di talian 03-6064 1222 atau tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.