
AS sebelum ini mengenakan tarif sebanyak 25% ke atas import dari Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos, namun kadar itu dikurangkan kepada 19% hari ini selepas beberapa pusingan rundingan.
“Kita telah membuat beberapa komitmen berkaitan pertimbangan komersial, salah satunya ialah pembelian pesawat Boeing,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz dalam sidang media.
“Malaysia akan membeli fasa kedua pesawat Boeing dari AS bernilai USD9.5 bilion, menyamai nilai pembelian fasa pertama.”
Pada Mac lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Malaysia Aviation Group (MAG) telah membuat tempahan bagi 30 pesawat Boeing 737, yang dijadualkan dihantar kepada syarikat itu menjelang 2030.
Anwar berkata, 30 pesawat untuk MAG iaitu syarikat induk Malaysia Airlines Bhd – terdiri daripada 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10s.
Tempahan ratusan pesawat Boeing telah diumumkan sejak minggu lalu dalam beberapa perjanjian dengan Jepun, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Kemboja, Bangladesh dan negara-negara lain sebagai sebahagian daripada rundingan bagi mengurangkan tarif AS.