
Pertuduhan terhadap Tee Heon Theng, 44, dibacakan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar tetapi tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, Tee yang tidak bekerja didakwa mengedar dadah jenis Methampethamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 51,252g dalam sebuah kereta di Parit Pulai, Parit Jawa, pada 2.50 petang, 21 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama iaitu hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa polis Norellywati Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 4 Nov ini untuk sebutan semula serta serahan laporan kimia.
Media sebelum ini melaporkan, tertuduh antara 10 individu, termasuk lelaki warga asing, yang ditahan dalam rampasan dadah terbesar Muar, Batu Pahat dan Cheras, Kuala Lumpur, bulan lalu.
Dalam serbuan itu, polis merampas antaranya 61kg Methampethamine dalam siri empat serbuan dengan nilai keseluruhan dadah lebih RM2 juta.