
Saifuddin berkata beliau telah menghubungi peguam keluarga Zara hari ini selepas membangkitkan isu itu ketika perbahasan Rang Undang-undang Pendidikan 2025 di Dewan Rakyat, Rabu lalu.
“Persoalan sama ada bedah siasat telah dijalankan atau belum masih belum jelas. Sekiranya belum dilakukan, saya cadangkan cari jalan untuk memastikan ia dilaksanakan.
“Saya dimaklumkan perkara ini sedang dalam proses,” katanya dalam kenyataan media.
Terdahulu, Berita Harian memetik kenyataan ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat yang mengarahkan peguam mereka menguruskan proses bagi membolehkan kubur anaknya digali semula untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazahnya.
Noraidah mendakwa pengebumian jenazah anaknya pada malam 17 Julai lalu dilakukan tanpa proses bedah siasat kerana tiada pihak mencadangkan kepadanya untuk berbuat demikian.
Luahan itu disuarakan Noraidah dua minggu selepas kematian Zara Qairina yang dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar dan dikaitkan dengan kes buli.
Saifuddin yang juga ketua portfolio pendidikan Perikatan Nasional (PN) turut menyatakan kebimbangan peluang kes kematian Zara Qairina diselesaikan secara adil dan telus boleh terjejas susulan percubaan mengangkat naratif berkaitan kesihatan mental atau masalah keluarga.
Menurutnya, naratif seperti itu boleh membawa kesimpulan kematiannya disebabkan bunuh diri.
“Naratif sebegini boleh menjejaskan peluang untuk kes itu diselesaikan secara adil dan telus,” kata ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu itu.