Hormat adendum seperti junjung titah bentuk kerajaan perpaduan, kata anak Najib

Hormat adendum seperti junjung titah bentuk kerajaan perpaduan, kata anak Najib

Nizar Najib berkata sampai bila kemelut itu hendak diselesaikan sedangkan titah adendum wujud.

nizar najib
Nizar Najib berkata kegagalan kerajaan melaksanakan titah ini memberikan persepsi tidak sihat kepada kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Anak bekas perdana menteri Najib Razak menggesa kerajaan menghormati titah adendum berkait pelaksanaan tahanan rumah bapanya seperti titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu yang membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan.

“Isu ini sudah lama berlarutan. Sampai bila kita nak selesaikan kemelut ini sedangkan titah itu wujud?” kata Nizar dalam sidang media.

Anak sulung Najib berkata, kegagalan melaksanakan titah itu memberikan persepsi tidak sihat kepada kerajaan.

“Ketika kita menjunjung titah untuk membentuk kerajaan perpaduan, tiada siapa pertikaikan malah menyokong.

“Jadi apa bezanya titah untuk bentuk kerajaan perpaduan dengan titah untuk laksanakan adendum,” katanya.

Minggu lalu, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata langkah susulan terhadap titah adendum akan diusahakan secepat mungkin mengikut prosedur perundangan namun menegaskan ia bergantung kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong yang mesti dihormati semua pihak.

Titah adendum dibuat terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang sebelum ini mengurangkan hukuman penjara dan denda ke atas Najib, dan didakwa mengandungi perintah hukuman penjara bekas perdana menteri dijalankan secara tahanan di rumah.

Najib disabitkan kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kes SRC International.

Mahkamah Persekutuan diberitahu pada 9 Julai bahawa Peguam Negara Dusuki Mokhtar pada 2 Julai mengesahkan kewujudan adendum itu namun mempertikaikan kesahihannya.

Sementara itu, dalam sidang media sama, pengerusi Kelab NKB1Msia, Rosmadi Ismail, menggesa perdana menteri memikul tanggungjawab penuh bagi memastikan titah adendum dilaksanakan.

Beliau berkata, Najib wajar menerima layanan adil dan saksama mengikut lunas undang-undang memandangkan sumbangannya sebagai negarawan yang banyak berjasa kepada pembangunan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.