
Tohmahan itu berkait hantaran di Facebook Ahli Parlimen Pasir Mas yang didakwa menyindir rundingan damai antara Thailand dan Kemboja diusahakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Fadhli berkata beliau telah mengumpul pelbagai bukti dan dalam proses mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Ahli Parlimen serta pemimpin Pemuda sebuah parti.
“Ini kerana sengaja sebarkan tohmahan atas pemahaman yang salah berkait posting di alamat https://www.facebook.com/share/p/1AufwWya6u/?mibextid=wwXIfr” katanya di Facebook.
Beliau tidak menamakan Ahli Parlimen dan pemimpin Pemuda terbabit.
Fadhli menerusi hantaran di laman sosial memuat naik karikatur kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang dengan monyet bertindak sebagai hakim berserta kapsyen ‘kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang’.
Namun, beliau telah memadam hantaran itu selepas dikritik ramai. Satu laporan polis dibuat ke atasnya oleh beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).
Fadhli juga tidak berhasrat memohon maaf seperti digesa pelbagai pihak antaranya Ketua Pemuda PKR Kamil Munim, sebaliknya menyerahkan kepada siasatan polis.
Kritikan terhadap Fadhli turut dilontarkan oleh Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang menyifatkan hantaran terbabit sebagai menghina orang lain.
Selain itu, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan yang menggesa Fadhli memohon maaf dan tidak meremehkan usaha meredakan ketegangan berlaku dalam konflik negara jiran itu.