
Timbalan Ketua Polis Klang Selatan Kamalariffin Aman Shah berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi panggilan kecemasan kira-kira pukul 8 pagi tadi yang melaporkan terdapat kanak-kanak terjatuh dari bangunan terbabit.
Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika bapa kanak-kanak berkenaan berada di tempat kerja manakala ibunya keluar dari rumah untuk menghantar anak keduanya ke rumah pengasuh.
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak warga tempatan itu dipercayai terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat lapan flat itu.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan kecemasan, namun telah disahkan meninggal dunia semasa rawatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Kamalariffin berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi IPD Klang Selatan menerusi talian 03-33762222 untuk membantu siasatan.