Biar marhaen sahaja hadir himpunan pro-Anwar, kerajaan diberitahu

Biar marhaen sahaja hadir himpunan pro-Anwar, kerajaan diberitahu

Perhimpunan politik hilang daya tarikan kerana tidak berpusat pada keperluan atau isu dekat di hati rakyat, kata seorang penganalisis.

Anwar Ibrahim
Gabungan Teksi SeMalaysia akan berhimpun di Dataran Merdeka pada 27 Sept bagi menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Penganalisis menggesa parti dalam kerajaan perpaduan tidak menggerakkan ahli mereka menyertai perhimpunan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang akan datang.

Awang Azman Awang Pawi dan Mazlan Ali berkata, rakyat biasa harus dibenarkan untuk menunjukkan sokongan secara tulen, bagi membolehkan himpunan berjalan secara organik memandangkan ia dianjurkan oleh sebuah NGO.

Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia mengingatkan, rakyat biasa enggan mengambil bahagian dalam perhimpunan apabila ia diilihat bermotifkan politik, seperti demonstrasi ‘Turun Anwar’ baru-baru ini.

mazlan ali
Mazlan Ali.

“Jika ahli politik menganjurkan atau terlibat, akan ada sedikit keraguan dan kegelisahan, malah acuh tak acuh, terhadap perhimpunan ini dalam kalangan rakyat.

“Tetapi ia berbeza jika dianjurkan oleh NGO bebas tertentu dan mereka menyatakan sokongan kepada perdana menteri berdasarkan prinsip bahawa beliau adalah pemimpin yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada FMT.

Awang Azman dari Universiti Malaya berkata, perhimpunan politik  kehilangan daya tarikan kerana tidak berpusat pada keperluan atau isu yang dekat di hati rakyat.

Beliau berkata, media sosial memberikan platform alternatif kepada rakyat untuk menyuarakan aduan dan pandangan, berbeza dengan era reformasi apabila tunjuk perasaan menjadi suatu kelaziman.

“Rakyat kini lebih suka aktivisme digital, petisyen dalam talian dan dialog di media sosial berbanding turun ke jalanan. Kesedaran politik lebih sering terbentuk melalui ‘politik harian’ sedemikian.

“Dalam kes perhimpunan Turun Anwar, ketiadaan objektif yang jelas dan alternatif konkrit menyukarkan ia menarik orang ramai. Begitu juga perhimpunan menyokong perdana menteri tidak akan mengujakan rakyat jika ia semata-mata simbolik tanpa kandungan bermakna,” katanya.

Gabungan Teksi SeMalaysia akan mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 27 Sept untuk menyatakan sokongan kepada perdana menteri, susulan perhimpunan Turun Anwar Sabtu lalu di lokasi sama.

Presiden Kamarudin Hussain berkata, kumpulan itu percaya Anwar mempunyai visi dan keupayaan untuk memimpin negara ke arah masa depan lebih adil dan makmur.

Bekas ketua PKR Selayang itu turut mengundang Anwar untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

Mazlan berkata, sokongan kepada perdana menteri akan diilihat datang daripada rakyat biasa dengan memastikan perhimpunan pro-Anwar bebas daripada penglibatan politik.

“Itu bermakna ia bukan dianjurkan secara politik tetapi oleh rakyat yang celik politik dan kumpulan seperti ini yang mewakili pemandu teksi adalah dekat dengan rakyat.

“Apabila anda mempunyai organisasi sedemikian yang menyatakan sokongan kepada perdana menteri melalui perhimpunan sedemikian, ia dianggap sebagai sokongan sebenar kepada perdana menteri, berbanding dengan perhimpunan Turun Anwar, yang digerakkan oleh pembangkang.”

Polis menganggarkan kira-kira 18,000 orang menghadiri perhimpunan Turun Anwar, walaupun PAS mendakwa lebih 200,000 peserta perhimpunan hadir.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

Awang Azman berkata, ketiadaan penglibatan tokoh politik akan beri isyarat bahawa sokongan kepada Anwar bukan daripada jentera parti tetapi daripada rakyat biasa yang benar-benar menyokong dasar kerajaan.

Beliau juga berkata, nilai politik perhimpunan sedemikian akan dilihat melangkaui slogan, menambah bahawa apa yang rakyat ingin lihat adalah dasar yang berkesan.

Awang Azman pula berkata, Anwar tidak seharusnya menghadiri perhimpunan itu untuk mengelakkan ia dipolitikkan. Sebaliknya, penghargaan beliau boleh disampaikan melalui mesej video kepada peserta.

“Beliau kemudian boleh menegaskan bahawa beliau lebih fokus pada tugasnya dan menyelesaikan isu-isu rakyat — daripada ekonomi hingga harga barang dan reformasi institusi –- berbanding menerima curahan sokongan dalam suatu perhimpunan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.