
AS sebelum ini mengenakan tarif 25% ke atas Malaysia berkuat kuasa hari ini, kadar disifatkan Presiden Donald Trump “jauh lebih rendah” daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan defisit perdagangan negara itu dengan Malaysia.
Kadar itu juga lebih tinggi daripada 24% yang pada mulanya dikenakan ke atas eksport tertentu Malaysia ke AS dan diberikan penangguhan selama 90 hari berakhir hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membayangkan kadar baharu akan dikenakan ke atas Malaysia semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13.
Awal hari ini, AFP melaporkan pentadbiran Trump mengenakan tarif lebih tinggi ke atas berpuluh-puluh negara dalam usaha terbarunya membentuk semula perdagangan global yang memihak kepada perniagaan AS.
Perintah eksekutif yang ditandatangani Trump menetapkan tarif ke atas import setinggi 41% ke atas Syria dan 30% bagi Afrika Selatan.
Import Kanada pula akan berdepan tarif 35%, meningkat daripada 25% sebelum ini.
Minggu lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz dilaporkan berkata, Malaysia menyasarkan kadar tarif terendah ke atas eksportnya ke AS, ketika beliau menolak laporan Bloomberg yang memetik sumber kerajaan sebagai berkata, Malaysia menyasarkan 20%.
Ditanya sama ada Malaysia akan menawarkan konsesi khusus kepada AS, katanya, butiran rundingan akan didedahkan sebaik sahaja perbincangan selesai.