
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan rancangan pembangunan lima tahun yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini sebagai ‘urusan seperti biasa’ tanpa inisiatif jelas yang mampu mengubah keadaan secara drastik.
“Ada banyak inisiatif memberi tumpuan kepada kawasan majoriti Melayu, khususnya di negeri saya, Kelantan. Tetapi saya masih belum dengar dasar boleh mengubah landskap.
“Jadi, saya tidak nampak sebarang faktor ‘wow’ daripada pengumuman ini,” kata pemimpin Bersatu itu kepada FMT.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan RMK13 yang membabitkan pelaburan RM611 bilion di Dewan Rakyat.
Namun begitu, Wan Fayhsal mengakui kerajaan kelihatan berusaha menawarkan penyelesaian dalam menghadapi cabaran global masa kini.
Beliau turut menyambut baik rancangan tebatan banjir yang diumumkan.
“Setiap tahun, apabila musim banjir tiba, kos kemusnahan lebih besar daripada peruntukan yang ingin dibelanjakan kerajaan bagi mencegah banjir,” katanya.
Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman berkata RMK13 tidak menetapkan formula agihan fiskal atau sasaran kuantitatif untuk negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Ini berbeza dengan RMK12 yang secara jelas komited untuk memperuntukkan 50% daripada perbelanjaan pembangunan kepada enam negeri kurang membangun tersebut,” katanya wakil PAS itu.
Syahir yang juga ketua biro ekonomi Perikatan Nasional, berkata rancangan itu juga gagal menangani isu pembaharuan fiskal antara kerajaan persekutuan dan negeri, perkongsian hasil dan kawalan sumber.
“Ini isu kritikal kerana ketiadaan penglibatan negeri dalam perancangan dan pelaksanaan telah menjadi pendorong utama kepada ketidakseimbangan pembangunan wilayah,” katanya.
“Pembangunan yang adil dan saksama tidak akan dapat dicapai sekiranya suara dari negeri-negeri terus diketepikan.”