Saya bersara tahun depan, Leftenan Jeneral Johnny Lim beri penjelasan

Saya bersara tahun depan, Leftenan Jeneral Johnny Lim beri penjelasan

Pegawai kanan Cina pertama mencapai pangkat tiga bintang itu beri penjelasan selepas laporan media dakwa beliau sudah bersara.

Johnny Lim
Johnny Lim menerima kenaikan pangkat ke Leftenan Jeneral pada Jun lalu. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Leftenan Jeneral Johnny Lim, pegawai kanan Cina pertama yang mencapai pangkat tiga bintang, menjelaskan bahawa beliau hanya akan bersara tahun depan.

Lim membuat penjelasan itu susulan laporan media yang mendakwa beliau telah bersara.

Lim berkata beliau membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan Khaled Nordin pada Rabu dan bergambar bersama Khaled pagi tadi apabila bertemu lagi semasa sambutan Hari Pahlawan.

Menurutnya, Khaled mengucapkan terima kasih atas khidmatnya dan mendoakan yang terbaik selepas mereka berbincang mengenai perancangannya untuk bersara.

“Saya tidak tahu mengapa semua akhbar kata saya sudah bersara. Ia mengelirukan dan menjatuhkan maruah,” katanya kepada FMT.

Lim turut menegur komen segelintir netizen terhadap laporan berita tersebut yang disifatkannya sebagai ‘menghina’.

Bulan lalu, angkatan tentera mencatat sejarah apabila Lim dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral.

Anak jati Melaka itu mendapat pendidikan di SK St Francis dari 1973 hingga 1978 dan SMK St Francis dari 1979 hingga 1983.

Beliau menjalani latihan kadet dalam Kursus Perlantikan Tetap ke-25 dan seterusnya menyambung latihan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom sebelum ditauliahkan ke Rejimen Renjer.

Lim turut menjelaskan bahawa walaupun kenaikan pangkatnya dilaporkan pada Jun, pelantikan itu sebenarnya berkuat kuasa lebih awal kerana perlu melalui proses sebelum majlis rasmi diadakan.

“Jadi apabila saya bersara tahun depan, saya berkhidmat selama 10 bulan sebagai Leftenan Jeneral,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.