
Ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Anwar berkata peruntukan itu merangkumi inisiatif untuk mengurangkan perbelanjaan rakyat bagi perkhidmatan kesihatan awam.
Anwar juga mengumumkan hospital dan klinik kerajaan baharu akan dibina, manakala lebih banyak projek menaik taraf kemudahan kesihatan sedia ada akan dilaksanakan.
Ia termasuk pembinaan Hospital Tuanku Ja’afar 2 di Seremban, Negeri Sembilan; Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor Bahru, Johor; sebuah pusat kanser di Sungai Petani, Kedah; pusat jantung di Kota Kinabalu, Sabah; dan pusat kanser di Sarawak.
“Rangka kerja pembangunan profesional sektor kesihatan peringkat kebangsaan akan dibangunkan untuk menangani isu keperluan sumber manusia.
“Ikhtiar ini merangkumi latihan pra-perkhidmatan, pelesenan dan pendaftaran, pengambilan, penempatan, serta pembangunan kerjaya bagi memastikan pengekalan bakat dalam sektor kesihatan,” katanya.