
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mahu KKR mengelakkan isu yang pernah dibangkitkan dalam prosidingnya sebelum ini, iaitu kerajaan masih perlu membayar kepada pihak syarikat walaupun dikatakan tidak mempunyai implikasi kewangan.
Badan rentas parti itu juga mahu setiap keputusan mengenai pelaksanaan sistem MLFF mesti meningkatkan keberkesanan dalam mengatasi kesesakan trafik.
“PAC memohon KKR untuk memaklumkan perkembangan berhubung hala tuju pelaksanaan sistem MLFF sebagai rujukan dan perhatian PAC secara bertulis,” kata Pengerusi Mas Ermieyati Samsudin menurut Bernama.
Pada masa sama, PAC menggesa keberkesanan dan kecekapan kutipan tol sedia ada ditingkatkan sebagai langkah segera untuk mengurangkan kesesakan lebuh raya sebelum MLFF dilaksanakan.
Syor ini terkandung dalam penyata PAC berhubung pelaksanaan projek MLFF yang dibentangkan semalam, katanya.
Di bawah sistem MLFF, semua laluan keluar dan masuk lebuh raya akan ditukar kepada lorong tanpa halangan bagi mengurangkan kesesakan dan melancarkan aliran trafik.
Sistem ini merupakan sebahagian daripada Pelan Induk ITS Malaysia (2019-2023), yang bertujuan memodenkan prasarana lebuh raya negara.
Semalam, media melaporkan pelaksanaan MLFF hanya boleh dijangka berlaku selewat-lewatnya pada 2027, selepas mengambil kira masa untuk rundingan, proses permintaan untuk cadangan oleh syarikat konsesi, dan keperluan untuk KKR menubuhkan sebuah badan kawal selia bagi memantau keseluruhan pelaksanaan.
Perkara itu itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha KKR Azman Ibrahim kepada PAC, dalam prosiding badan rentas parti itu pada 20 Mei.