Miti, firma bincang pertikaian berkait rekaan pavilion

Miti, firma bincang pertikaian berkait rekaan pavilion

Menterinya Tengku Zafrul Aziz berkata ia bagi memastikan perkara itu dapat diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.

malaysia pavi expo
Current Media Group mengemukakan surat tuntutan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi menuntut pampasan atas penggunaan reka bentuknya dalam Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia Osaka. (Gambar Expo 2025)
PETALING JAYA:
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) sedang berbincang dengan sebuah syarikat mendakwa hasil reka bentuknya digunakan dalam pembangunan Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia Osaka, Jepun tanpa sebarang pengiktirafan atau pampasan.

Menterinya, Tengku Zafrul Aziz, berkata perunding, kontraktor dan penyedia perkhidmatan terlibat dalam projek pavilion tersebut telah melalui proses penilaian serta pemilihan mengikut prosedur perolehan kerajaan.

“Bagi memastikan perkara ini dapat diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak, kementerian sedang mengadakan perbincangan aktif dengan pihak syarikat.

“Ini penting bagi memastikan penyertaan Malaysia dalam Ekspo Dunia Osaka tidak terjejas dan momentum bagi pencapaian setakat ini dapat dikekalkan serta segala matlamat tercapai,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

“Mengambil iktibar daripada isu ini, Miti akan terus memperkemaskan garis panduan dalaman berdasarkan keperluan, khasnya dalam mempertingkatkan kawalan ke atas semua aspek pemilihan rakan pelaksana, terutamanya bagi projek berimpak tinggi yang melibatkan imej negara di peringkat antarabangsa.”

Katanya, Miti kekal komited memastikan pelaksanaan program dan projek melibatkan kepentingan negara dijalankan secara telus, berakauntabiliti dan berintegriti.

Awal bulan ini, syarikat pemasaran, Current Media Group (CMG), mengemukakan surat tuntutan kepada Miti bagi menuntut pampasan atas penggunaan reka bentuk syarikat itu dalam Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia Osaka, yang berlangsung dari 13 April lalu hingga 13 Okt ini.

CMG berkata, ia mengambil keputusan menghantar surat tuntutan selepas semua saluran tidak rasmi bagi menyelesaikan perkara itu digunakan, dan kementerian diberi masa mencukupi untuk bertindak secara berhemah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.