
Dalam temu bual eksklusif dengan FMT, Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy Dionysia Kibat berkata pemain industri terkemuka sedang meningkatkan aktiviti di lembangan Sabah yang kaya dengan sumber.

“Syarikat-syarikat O&G antarabangsa utama kini komited untuk penerokaan, pembangunan dan pengeluaran selanjutnya di negeri ini,” katanya sambil menambah Sabah kini mendahului negeri-negeri lain dalam aliran masuk FDI jangka pendek.
ConocoPhillips dan Pertamina antara syarikat gergasi terbabit yang aktif di lembangan Layang-Layang manakala INPEX Malaysia dan TotalEnergies memegang saham dalam blok penerokaan di luar pantai timur dan barat.
Shell Malaysia dan ConocoPhillips juga telah melanjutkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) sehingga 2050, manakala PTTEP Malaysia giat meningkatkan pembangunan semula laut dalam di Blok H dan Kikeh.
Dionysia berkata kerjasama itu telah memberikan rangsangan besar kepada pendapatan negeri.
“Kira-kira separuh daripada hasil kerajaan negeri sebanyak RM6.7 bilion diperoleh daripada aktiviti minyak dan gas dalam bentuk bayaran tunai dan SST.”
Beliau mengaitkan keyakinan berterusan pelaburan itu kepada penglibatan kerjasama Sabah dengan Petronas, membezakannya dengan pendirian Sarawak yang lebih bersifat perundangan dan litigasi.
“Sehingga kini, perkongsian ini telah menunjukkan kejayaan komersial dan kewangan untuk Sabah,” kata Dionysia.
Pada 2021, pentadbiran Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menandatangani perjanjian kerjasama komersial (CCA) dengan Petronas, membolehkan negeri itu mempunyai lebih banyak suara, hasil dan penyertaan dalam industri O&G sambil menghormati undang-undang negara, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974.
SMJ Energy, sebuah entiti milik penuh kerajaan Sabah ditubuhkan pada 2021 berperanan menyelia, mengurus dan menyelaraskan penyertaan negeri di seluruh rantaian nilai O&G.
“CCA menyediakan penyelesaian komersial untuk mengatasi isu hak O&G di Sabah sambil mengekalkan hak dan keistimewaan undang-undang sedia ada milik kerajaan negeri dan persekutuan,” kata Dionysia.
Melalui CCA, SMJ Energy telah memperoleh ekuiti dalam pelbagai usaha niaga: 50% pegangan dalam PSC Samarang, 25% dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah, dan 10% dalam loji LNG Petronas di Bintulu.
Usaha ini telah menghasilkan dividen dan hasil masing-masing sebanyak RM1.8 bilion, RM323 juta dan RM866 juta.
“Dividen daripada SMJ — berjumlah RM160 juta setakat ini — telah disalurkan kembali kepada kerajaan negeri. SST yang dibayar kepada negeri oleh SMJ Energy berjumlah RM91 juta setakat ini,” katanya.
Manfaat lonjakan OGSE kepada kontraktor Sabah
Industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Sabah juga menyaksikan pertumbuhan ketara di bawah kerangka CCA.
“Untuk suku pertama 2025, nilai kerja OGSE yang telah dianugerahkan kepada kontraktor Sabah berjumlah RM582 juta, berbanding RM613 juta untuk sepanjang 2021,” jelas Dionysia
“Pada 2024 sahaja, kontraktor OGSE Sabah telah dianugerahkan kerja bernilai RM2 bilion, menunjukkan Sabah sebagai kuasa besar OGSE untuk masa depan.”
SMJ juga bekerjasama dengan Petronas untuk memastikan bekalan gas tempatan yang mencukupi bagi merangsang perindustrian hiliran.
“Kami bersama-sama memastikan ketersediaan bekalan gas untuk pelaburan RM20 bilion (dalam tiga fasa) oleh E-Steel Enterprise Sdn Bhd untuk membina loji besi briket panas di Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Fasa 2 loji kaca solar SBH Kibing New Solar Energy SB yang berjumlah RM7.2 bilion,” katanya.
Melabur secara pintar tanpa risiko
Ditanya mengenai kedudukan strategik SMJ, Dionysia berkata syarikat itu akan kekal sebagai pelabur kewangan dalam aset pengeluaran dengan aliran tunai yang kukuh.
“Kami bekerja mengikut batasan dan sumber kewangan kami. SMJ Energy akan mengelakkan risiko penerokaan dan tidak akan mengambil peranan operasi dalam pelaburan huluan buat masa ini.”
Beliau berkata SMJ memanfaatkan ‘faedah pegangan tanpa kos’ dan ‘hak pengambilan semula berasaskan kontrak’— mekanisme membolehkan penyertaan ekuiti tanpa pendedahan modal awal.
Tambahnya, perkongsian yang lebih mendalam dengan Petronas tidak diketepikan.
“Ada perbincangan berterusan di peringkat tertinggi antara kerajaan negeri dan persekutuan di bawah jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” kata Dionysia.
“Ini berkaitan dengan royalti minyak, bayaran tunai dan pelantar benua yang membabitkan perundangan negeri dan persekutuan yang sedia ada.”