Istana Seri Kinabalu nafi keluarga TYT terbabit kes kematian pelajar

Istana Seri Kinabalu nafi keluarga TYT terbabit kes kematian pelajar

Penafian itu susulan dakwaan di media sosial ahli keluarga Musa Aman terlibat dalam kes di sebuah sekolah di Papar.

istana seri kinabalu
Istana Seri Kinabalu menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab serta bersifat fitnah yang boleh mencemarkan reputasi keluarga Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Istana Seri Kinabalu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial kononnya ada individu dalam kalangan keluarga Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman terlibat dengan kes kematian pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah di Papar.

Istana Seri Kinabalu dalam kenyataan kepada Bernama menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab serta bersifat fitnah yang boleh mencemarkan reputasi keluarga Musa.

Istana juga meminta orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan berbaur fitnah serta mengingatkan penyebaran maklumat palsu boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sebarang perkembangan berkaitan siasatan hendaklah dirujuk kepada polis atau Kementerian Pendidikan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham orang awam,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata siasatan kes itu dibawa ke Bukit Aman untuk pemerhatian dan juga penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.

Pelajar berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 11 pagi 17 Julai, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.