
Seorang pakar kesihatan awam pula walaupun menyambut baik cadangan itu kerana dapat mengehadkan akses kepada vape, tetap bertegas fokus utama kerajaan adalah mengharamkan peranti yang mempunyai kesan buruk lebih banyak berbanding manfaatnya.

Bercakap kepada FMT, Presiden Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (Move), Samsul Kamal Ariffin, berkata cadangan menaikkan cukai dilontarkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan bukan jawapan konkrit untuk mengelakkan salah guna peranti itu.
“Naikkan cukai, bukan jawapannya. Tanpa penguatkuasaan ketat, kenaikan harga siling dan naikkan cukai saja tak akan selesaikan masalah,” katanya memaklumkan terdapat empat aspek yang perlu dikawal selia lebih ketat supaya penggunaan vape tidak terus dikaitkan dengan punca penyalahgunaan dadah.
Katanya, kerajaan perlu mengawal selia dari sektor pengeluaran dan pembuatan, mengehadkan jualan kepada individu tertentu, dan mengharamkan cecair import, selain vape hanya boleh dijual di kedai khusus berbanding ketika ini ia boleh dibeli di kedai runcit.
“Bila semua ini dikawal selia dengan ketat, kerajaan akan dapat manfaat apabila pengguna dapat produk yang selamat dan peniaga dapat teruskan perniagaan dan menyumbang kepada hasil negara,” katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan pengharaman penuh produk vape hanya akan menyebabkan ia dijual di pasaran gelap lebih meluas, memandangkan wujud permintaan tinggi.
“Pengharaman vape ini terbukti di India, Australia dan Singapura di mana apabila haramkan vape akan menggalakkan pasaran gelap.
“Bila dah di pasaran gelap, kita dah tak boleh kawal dan kesannya adalah kepada pengguna kerana terdedah kepada produk tak selamat,” katanya.
Wan Saiful dalam kenyataan kelmarin mencadangkan kerajaan menaikkan cukai bagi cecair vape bernikotin selain menetapkan harga minimum RM12.
Beliau berkata, ketika ini cecair nikotin hanya dikenakan cukai sebanyak 40 sen bagi setiap mililiter, sedangkan rokok dikenakan RM8 bagi setiap kotak.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata cadangan kenaikan cukai dan penetapan harga minimum mampu menyekat sebahagian akses terhadap vape terutama dalam kalangan pengguna muda.
Namun, katanya pengharaman sepenuhnya terhadap vape akan memberikan kesan lebih menyeluruh dan berpanjangan, selain bertegas kerajaan tidak harus membenarkan desakan industri melemahkan perlindungan kesihatan awam.
“Ini termasuk mencegah ketagihan awal, melindungi kesihatan awam dan mengurangkan risiko penyalahgunaan dadah.
“Kita akui bahawa terdapat cabaran dalam menggubal atau meminda undang-undang, termasuk tekanan daripada pihak industri serta kepentingan politik.
“Oleh itu, proses ini mesti disertai dengan nasihat pakar perundangan agar setiap perubahan akta tidak lari daripada objektif asal,” katanya.
Kelmarin, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya mempertimbangkan larangan penuh penjualan dan penggunaan vape serta rokok elektronik, namun memerlukan beberapa pertimbangan seperti implikasi undang-undang, penguatkuasaan dan kesihatan awam.
Beberapa kerajaan negeri mengambil langkah pengharaman penuh penjualan vape antaranya Perlis, Terengganu, Kedah, dan Pahang. Johor dan Kelantan pula menguatkuasakan larangan penjualan produk tersebut masing-masing sejak 2016 dan 2015.