Bekas pengarah urusan syarikat minyak dan gas didakwa salah guna kedudukan

Bekas pengarah urusan syarikat minyak dan gas didakwa salah guna kedudukan

Farah Sabryna Nasarudin didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melantik suaminya sebagai penasihat dan memindahkan sejumlah wang ke akaunnya.

Farah Sabryna Nasarudin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 218(1)(d) Akta Syarikat.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pengarah urusan sebuah syarikat minyak dan gas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya dalam syarikat secara tidak wajar.

Farah Sabryna Nasarudin didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengarah urusan Asiapac Oil & Gas Sdn Bhd untuk melantik suaminya, warga Australia, sebagai penasihat teknikal syarikat itu.

Farah juga didakwa mengarahkan sejumlah RM786,209.30 dipindahkan daripada syarikat itu ke akaun banknya untuk manfaat dia dan suami.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Asiapac di Q Sentral di sini antara 27 Jan 2021 dan 28 Julai 2023.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 218(1)(d) Akta Syarikat. Jika didapati bersalah, dia berdepan hukuman penjara lima tahun, denda maksimum RM3 juta, atau kedua-duanya sekali.

Hakim Hamidah Deril membenarkan Farah diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Sept untuk sebutan berikutnya.

Farah diwakili peguam A Narainasamy manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Shariff.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.