Tanpa testimoni Najib, saman RM20 juta SRC terhadap Umno akan gagal, kata peguam

Tanpa testimoni Najib, saman RM20 juta SRC terhadap Umno akan gagal, kata peguam

Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan akan menyampaikan keputusan pada 24 Okt.

Najib Nik Faisal Suboh Yassin
Kegagalan SRC International panggil Najib Razak (kiri) dan bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil (tengah) menyebabkan testimoni bekas pengarah syarikat itu, Suboh Yassin, tidak disokong, kata seorang peguam bela.
KUALA LUMPUR:
Saman sivil SRC International Sdn Bhd terhadap Umno akan gagal, kata peguam parti itu di Mahkamah Tinggi hari ini, menyebut ketiadaan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil sebagai saksi.

Peguam Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, keterangan daripada kedua-dua individu itu penting bagi menyokong testimoni bekas pengarah SRC Suboh Yassin.

Tanpa keterangan mereka, jelasnya, kenyataan Suboh wajar dianggap tidak boleh diterima.

“Nik Faisal mesti hadir untuk mengukuh dan mengesahkan dakwaan Suboh mengenai Najib. Tiada keterangan menunjukkan mengapa beliau tidak dipanggil.

“Walaupun terdapat khabar angin mengenai keberadaannya, tiada usaha dibuat untuk menjelaskan kegagalan mengemukakan beliau (sebagai saksi),” katanya dalam hujahan akhirnya.

Beliau berkata Najib juga tidak dipanggil, tanpa sebarang penjelasan, walaupun dia didakwa berperanan sebagai pengarah bayangan SRC.

“Semua orang tahu di mana Najib berada. Dia dalam tahanan, tidak boleh ke mana-mana. Dia saksi yang sangat penting bagi pihak plaintif. Mengapa tidak dipanggil?” soalnya.

Hasnal berkata, testimoni Najib penting dalam beberapa aspek, termasuk bagi memperjelas kenyataan Suboh mengenai ‘dana gelap’, menentukan sama ada Najib bertindak sebagai pengarah bayangan SRC, dan menilai tahap kawalan beliau ke atas syarikat itu.

Beliau turut menghujahkan bahawa pegawai-pegawai Kementerian Kewangan yang didakwa mendedahkan salah laku Nik Faisal sepatutnya dipanggil untuk memberi keterangan, dan dokumen-dokumen berkaitan siasatan itu wajar dikemukakan sebagai keterangan di mahkamah.

Beliau berhujah sedemikian dalam saman yang difailkan oleh SRC dan anak-anak syarikatnya, Jendela Pinggiran Sdn Bhd dan Gandingan Mentari Sdn Bhd, untuk mendapatkan semula RM16.5 juta dan RM3.5 juta masing-masing daripada Umno dan Umno Selangor.

Suboh, yang juga ahli lembaga pengarah kedua-dua anak syarikat itu, sebelum ini memberi keterangan bahawa Najib telah memintas protokol dan tidak berunding dengan lembaga pengarah apabila menggunakan kuasanya.

Beliau mendakwa telah menandatangani empat keping cek kosong sebagai pengarah Jendela Pinggiran, yang menyebabkan pengeluaran RM19.5 juta.

Beliau berkata, Nik Faisal selaku penandatangan bersama tidak pernah memaklumkan kepadanya bahawa dana tersebut akan disalurkan kepada Umno.

Sebagai balasan, peguam SRC Razlan Hadri Zulkifli menghujahkan bahawa kehadiran Najib dan Nik Faisal tidak diperlukan.

“Saya boleh buktikan kes saya tanpa memanggil mereka,” katanya menambah, testimoni Suboh sebagai pengarah bersama sudah memadai.

Beliau berkata, Suboh telah mengesahkan bahawa Gandingan Mentari ‘diuruskan seperti dana gelap’.

Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan akan menyampaikan keputusannya pada 24 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.