
Suhardi menyifatkan pengurniaan darjah kebesaran itu detik membanggakan dan sangat bermakna sepanjang kerjayanya dalam perkhidmatan awam.
“Saya amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini. Ia bukan hanya untuk saya, tetapi bagi semua yang bekerja tanpa jemu memperkasakan sukan Malaysia.
“Ia mendorong kami untuk terus menambah baik perkhidmatan kepada orang ramai dan menyokong atlet,” kata bekas pelajar Sekolah St Mark di Perai itu.
Menurutnya, ia akan menjadi “pemangkin” bagi mendorong pembaharuan dalam tadbir urus dan pentadbiran lebih cekap di seluruh landskap sukan negara.
Suhardi memainkan peranan penting ketika Sukan SEA 2001 dengan mengetuai sekretariat teknikal negeri yang menyelia empat acara: boling, skuasy, wushu dan judo.
Tahun itu, Malaysia muncul juara keseluruhan buat julung kali dengan memenangi 111 pingat emas.
Beliau turut bekerjasama rapat dengan kerajaan Pulau Pinang dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menilai serta menambah baik sistem penarafan badan sukan negeri dan kebangsaan yang memohon sokongan pentadbiran.
Dengan hampir 35 tahun pengalaman dalam Kementerian Belia dan Sukan, Suhardi menyumbang kepada beberapa rangka kerja sukan terpenting negara.
Beliau terbabit merangka Visi Sukan Negara 2030 dan Pelan Hala Tuju Industri Sukan, selain menjadi pelopor Kursus Pengurusan Sukan dan Sains Sukan Kebangsaan pertama, di mana beliau terus menjadi tenaga pengajar sehingga kini.
Suhardi pernah dilantik timbalan ketua pengarah (Strategik) MSN dan ahli Jawatankuasa Penarafan MSN bersama Majlis Olimpik Malaysia pada 2009.
Beliau pernah mengetuai Jawatankuasa Antirasuah MSN serta terbabit inisiatif bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Interpol dan Pergerakan Olimpik.
Sejak dilantik pesuruhjaya sukan pada Ogos 2023, Suhardi menyelia perluasan sukan diiktiraf bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 daripada 39 kepada 103, merangkumi disiplin tradisional, moden dan digital.
“Kami mengalu-alukan sukan baharu. Ia membuka pintu kepada lebih ramai belia untuk menyertai dan menjadi cemerlang. Inilah cara kami mengembangkan industri serta ekosistemnya.”
Tahun lalu, Suhardi menjadi tajuk utama selepas membantah rancangan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 yang disifatkannya “berisiko dari segi kewangan”, dengan ramai memuji kejujurannya dan menggesa lebih ramai pemimpin seperti beliau dalam perkhidmatan awam.
Penganugerahan hari ini mengesahkan apa yang ramai sudah tahu dalam sukan Malaysia: Suhardi merupakan pembina, pembaharu dan suara bagi kepimpinan bertanggungjawab.