Penarik kereta, pemandu mengaku tak salah halang laluan PLUS

Penarik kereta, pemandu mengaku tak salah halang laluan PLUS

Penarik kereta R Suren dan pemandu kenderaan Ang Wei Foong didakwa atas pertuduhan memandu secara berbahaya serta mengganggu aliran trafik awam.

tahan kereta highway
Tangkap layar video tular menunjukkan tiga kenderaan menghalang laluan di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Plaza Tol Pedas-Linggi pada 1 Julai lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah kerana menghalang laluan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Plaza Tol Pedas-Linggi pada 1 Julai lalu.

Penarik kereta, R Suren, 36, dan pemandu kenderaan, Ang Wei Foong, 38, didakwa secara berasingan atas pertuduhan memandu secara berbahaya serta mengganggu aliran trafik awam.

Harian Metro melaporkan Suren mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di depan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.

Bagi pertuduhan pertama, Suren didakwa memandu secara gopoh dan berbahaya dengan memberhentikan kenderaannya di jalan awam sehingga boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna lain pada 7.50 malam 1 Julai lalu di KM225.5 PLUS arah selatan dekat Plaza Tol Pedas-Linggi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Suren bersama dua lagi individu masih bebas, didakwa secara bersama menghalang pergerakan kenderaan dipandu Ang di lokasi dan waktu sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahana Athirah Yaccob mencadangkan jaminan RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi pertuduhan kedua.

Tetapi, peguam memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya hadir secara sukarela ke mahkamah, sudah berkahwin dan mempunyai dua anak berusia 14 serta 15 tahun dan bekerja sebagai penarik kereta dengan pendapatan tidak tetap.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Sept ini.

Dalam prosiding berasingan, Ang didakwa memandu Volkswagen Golf melawan arus secara gopoh dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Dia didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ang yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana hanya bekerja di kedai motosikal dan perlu menanggung dua anak kecil.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Sept ini.

Terdahulu, tular video 35 saat memaparkan tiga kenderaan berhenti secara melintang di lebuh raya menyebabkan kesesakan dan gangguan aliran trafik.

Susulan itu, polis menahan seorang daripada pemilik tiga kenderaan dalam video tular itu yang menghalang laluan di PLUS kerana mahu menarik sebuah kenderaan.

Polis dilaporkan berkata, suspek berusia 50-an itu yang juga ejen tarik kenderaan ditahan pada 3 Julai lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.