Pegawai Suhakam fail semakan kehakiman cabar turun pangkat

Pegawai Suhakam fail semakan kehakiman cabar turun pangkat

Alfonso Min mahu dikembalikan sebagai penolong setiausaha utama dan prosiding tatatertib terhadapnya diisytiharkan terbatal serta tidak sah.

Mahkamah kota kinabalu
Alfonso Min mahu Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memaksa Suhakam mengembalikan jawatannya sebagai penolong setiausaha utama dengan kekananan dan faedah penuh, selain prosiding tatatertib ke atasnya diisytiharkan terbatal serta tidak sah.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai memfailkan semakan kehakiman berhubung penurunan pangkatnya oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan menuntut ganti rugi.

Alfonso Min memohon mandamus bagi memaksa Suhakam mengembalikan jawatannya sebagai penolong setiausaha utama dengan kekananan dan faedah penuh, selain prosiding tatatertib ke atasnya diisytiharkan terbatal serta tidak sah.

Beliau turut menuntut pampasan atas kehilangan gaji, elaun dan caruman berkanun, selain “relif berbangkit dan saksama lanjut”.

Min mendakwa diturunkan pangkat daripada Gred 48 ke 41 pada Ogos lalu tanpa proses wajar – dituduh berprestasi rendah – yang menyebabkan potongan gaji.

Pegawai berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah itu menepis dakwaan berprestasi rendah dan menegaskan beliau sentiasa menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab serta cekap.

Beliau turut mencabar proses penilaian, dengan mendakwa ia dijalankan oleh setiausaha organisasi saja, bukan bersama timbalan setiausaha seperti ditetapkan.

Selepas diturunkan pangkat, Min yang menyertai Suhakam pada 2013, mendakwa diarahkan membayar balik sebahagian gajinya dari April hingga Ogos 2024, selain rayuannya ditolak tiga kali.

Enam bulan lalu, Min memberitahu FMT, beliau “tiada pilihan lain selain meneruskan tindakan undang-undang”.

Suhakam dalam responsnya berkata, semua tindakannya selaras garis panduan perundangan dan prosedur serta enggan mengulas lanjut “kerana proses wajar berdasarkan peraturan kami sedang berjalan”.

Pada 23 Julai lalu, Min memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu melalui peguamnya K Rakhbir Singh.

Beliau menamakan Suhakam dan Jawatankuasa Tatatertibnya sebagai responden pertama serta kedua.

Min mendakwa Suhakam bertindak atas niat jahat dalam proses penilaian prestasi 2023 dan penurunan pangkat serta penahanan gaji sejak September 2024 ialah pelanggaran kontrak yang menyalahi undang-undang.

Beliau mendakwa perkara itu menimbulkan kesusahan tidak perlu, kemudaratan reputasi dan ketidakpastian berhubung status pekerjaannya.

Kes ini ditetapkan di Mahkamah Tinggi pada 8 Sept ini.

Min ketika dihubungi berkata, keseluruhan peristiwa itu antara babak paling sukar dalam hidupnya.

“Saya sentiasa berkhidmat sebagai pegawai Suhakam dengan keikhlasan dan dedikasi, jadi amat menyakitkan apabila dilayan dengan cara yang saya percaya tidak adil. Saya bukannya mahu membalas dendam – saya mencari akauntabiliti.”

Beliau berkata, setiap pegawai Suhakam, tanpa mengira jawatan, berhak dilayan dengan bermaruah, telus dan mengikut proses wajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.