‘Pastikan keadilan, ketelusan kes Zara’, tegas Ahli Parlimen PN

‘Pastikan keadilan, ketelusan kes Zara’, tegas Ahli Parlimen PN

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah bangkitkan kejadian menimpa Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia di sekolah asrama di Papar, 16 Julai lalu.

saifuddin abdullah
Saifuddin Abdullah berkata banyak persoalan timbul yang perlu dijawab dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen menegaskan kematian pelajar Tingkatan 1 Zara Qairina Mahathir di sebuah sekolah asrama di Papar, Sabah perlu diselesaikan mengikut undang-undang adil dan telus.

Ketika membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat, Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkata pelbagai persoalan berbangkit dalam kes itu yang menuntut satu jawapan konkrit dinantikan keluarga Zara.

Menurut ketua portfolio pendidikan PN itu, antara persoalan dibangkitkan ramai termasuk punca kematian yang dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama atau ada unsur jenayah menyebabkannya terjatuh.

Jelas Saifuddin, jika punca kejadian disebabkan kemalangan, apakah faktor menyebabkannya termasuk keadaan persekitaran, keselamatan asrama atau keadaan emosi dan mental mangsa.

“Jika ada unsur jenayah, siapakah individu terlibat? Apakah motif di sebalik kejadian dan apakah latar belakang individu berkenaan termasuk hubungan kekeluargaan dan status sosial mereka?,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Pendidikan 2025.

Bekas menteri itu juga membangkitkan persoalan berkaitan pemantauan sekolah ketika kejadian berlaku sekitar 3 pagi dan jika saksi telah memberikan keterangan tanpa tekanan, pengaruh atau ugutan mana-mana pihak.

Katanya, ada juga persoalan di media sosial yang perlu dijawab segera pihak berkuasa seperti dakwaan saksi dipindahkan ke sekolah lain dan cubaan memujuk waris Zara menarik balik laporan.

“Saya berharap kes Zara diberikan penyelesaian undang-undang yang adil dan telus. Ini amat penting untuk keluarganya yang kehilangan dan kesedihan yang amat sangat.

“Juga untuk menamatkan khabar angin yang tersebar berkaitan kes ini yang juga membuka kembali cerita-cerita lama tentang sesetengah kes kematian yang terdahulu,” tegasnya.

Isnin lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun memberi jaminan siasatan menyeluruh ke atas kejadian menimpa Zara Qairina yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah asrama pada 16 Julai sebelum menghembuskan nafas terakhir sehari kemudian.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pula dilapor berkata kementerian akan memastikan siasatan ‘berlangsung dengan adil’ dengan tindakan susulan akan dilaksanakan selepas siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.