Mayat wanita bawah jambatan dipercayai penuntut kolej hilang

Mayat wanita bawah jambatan dipercayai penuntut kolej hilang

Waris sahkan pakaian di badan mayat milik mangsa, namun pengesahan identiti masih tunggu padanan cap jari.

wan azlan
Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat, bedah siasat dijalankan semalam dapati tiada kesan pergelutan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mayat wanita yang ditemukan dalam keadaan terlentang di bawah jambatan Sungai Klang pada Isnin lepas dipercayai mempunyai kaitan dengan kes seorang penuntut kolej swasta dilaporkan hilang.

Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada kakak mangsa pada 26 Julai lepas, selepas adiknya gagal dihubungi.

“Siasatan mendapati kakak mangsa diminta oleh adiknya berusia 23 tahu untuk menjemputnya di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Height pada 12 tengah hari, 25 Julai, namun mangsa gagal dihubungi hingga keesokan harinya,” katanya dalam kenyataan.

Wan Azlan berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, semalam, mendapati tiada kesan pergelutan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa namun laporan penuh masih menunggu keputusan makmal.

Tambahnya, polis menjumpai satu anak kunci di dalam poket seluar mangsa dan seterusnya memeriksa rumah dipercayai tempat tinggal mangsa di kawasan Jalan Klang Lama.

“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa berada di kawasan tersebut sebelum dilaporkan hilang,” katanya.

Beliau berkata, pengecaman awal oleh waris mengesahkan pakaian pada mayat sepadan milik mangsa namun pengesahan identiti masih menunggu keputusan padanan cap jari.

Isnin lepas, mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan dalam keadaan tertiarap di atas batu bawah jambatan Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Puchong pada 11.58 pagi, dengan tiada sebarang dokumen pengenalan diri mahupun barangan peribadi padanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.