
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan program diluluskan itu memberikan tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat iaitu pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan, serta kesejahteraan sosial.
“Langkah ini mencerminkan tekad berterusan kerajaan dalam mengangkat peranan masyarakat India sebagai rakan pembangunan negara menerusi pendekatan yang inklusif, progresif dan berteraskan impak menyeluruh,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa permohonan yang tidak dapat diluluskan, antaranya melibatkan program berkaitan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang bertindih serta berada bawah bidang kuasa dan selenggaraan Majlis TVET Negara.
“Selain itu, beberapa lagi cadangan program tidak dapat diluluskan kerana bertindih dengan inisiatif sedia ada di bawah beberapa kementerian, termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan Malaysia, serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya.
Katanya, bagi mengelakkan berlakunya pertindihan peranan dan penggunaan sumber yang telah disediakan oleh kementerian, satu penyelarasan perlu dilakukan.
“Kerajaan akan terus memperhalusi dan menilai pelaksanaan beberapa lagi inisiatif strategik dalam masa terdekat bagi memastikan masyarakat India terus menerima manfaat pembangunan yang adil, saksama dan mampan.
“Kerajaan teguh dengan prinsip bahawa setiap lapisan rakyat, termasuk komuniti India, berhak menikmati peluang dan kemajuan negara secara menyeluruh selaras dengan semangat Malaysia Madani,” katanya.
Tahun lalu Jemaah Menteri memutuskan untuk meletakkan Mitra kembali di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.