
Fahmi berkata, ramai pihak ‘bising’ apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan arahan pada Jun lalu supaya syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit yang dibuat dari Januari hingga Mac.
Permintaan SKMM itu bertujuan untuk pengumpulan data bagi kegunaan Jabatan Perangkaan.
Bagaimanapun, dasar itu mendapat kritikan, termasuk daripada pihak pembangkang dan MCA, yang membangkitkan kebimbangan berkaitan privasi dan keselamatan data.
Hari ini, Fahmi memberi contoh tindakan syarikat teknologi gergasi, Google yang didenda USD314 juta kerana mencuri data daripada telefon 14 juta pengguna di California.
Awal bulan ini, sebuah mahkamah di California mengarahkan Google membayar lebih USD314.6 juta kepada pengguna telefon pintar Android di negeri itu selepas mereka memfailkan saman.
Juri bersetuju dengan dakwaan bahawa enjin carian itu bertanggungjawab menghantar dan menerima maklumat daripada peranti Android tanpa kebenaran pengguna.
“Namun kita tidak pula bising tentang data yang kita serahkan secara percuma setiap hari kepada platform media sosial, enjin carian, kecerdasan buatan, dan model bahasa berskala besar,” kata Fahmi ketika merasmikan Persidangan dan Ekspo Ketersambungan Antarabangsa 2025.
Pada Jun lalu, Fahmi memberi jaminan bahawa SKMM tidak mengumpul sebarang maklumat peribadi daripada syarikat telekomunikasi, dan data yang dikongsi tidak akan disediakan dalam bentuk yang mengandungi maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi.
Pesuruhjaya SKMM Derek John Fernandez, sebelum ini memberitahu FMT bahawa perkongsian data telefon bimbit yang telah dianonimkan bukan perkara baru dan tidak bersifat mengganggu privasi.
Katanya, perkara itu turut dilakukan oleh platform teknologi global setiap hari.
Fernandez turut berkata, langkah tersebut selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan menepati amalan terbaik antarabangsa dalam penggunaan data bagi perancangan infrastruktur dan pembangunan negara.
“Perkara ini berlaku setiap hari jika anda melanggan Google, Facebook – malah mereka kumpul lebih banyak daripada itu,” katanya yang dipetik sebagai berkata.