
Beliau berkata, satu jawatankuasa bagi mengkaji kebolehlaksanaan tribunal tersebut ditubuhkan pada Jun lepas.
“Kajian ni telah mula dilaksana dan dijangka akan siap pada Oktober 2025. Jawatankuasa ini akan meneliti pelbagai perspektif, input dan pandangan berkaitan aspek-aspek yang relevan usaha ini,” katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Menurutnya, jawatankuasa tersebut dipengerusi bekas hakim Mahkamah Rayuan Mah Weng Kai dan dianggotai wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Suhakam, Majlis Peguam Negara, ahli akademik, wakil agensi-agensi kerajaan berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.
Kulasegaran berkata, sebanyak lima mesyuarat telah dilaksanakan setakat bulan ini, termasuk pembentangan dapatan awal kajian meliputi kerangka konsep dan teori analisis mekanisme hak asasi manusia sedia ada di Malaysia, pada 9 Julai lalu.
“Juga analisis perbandingan amalan antarabangsa dan cadangan modal tribunal hak asasi manusia Malaysia dan perbincangan kumpulan fokus yang melibatkan pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Teresa Kok (PH-Seputeh) berhubung status terkini usaha kerajaan dalam memperkenalkan tribunal hak asasi manusia.
Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata jawatankuasa tersebut juga sedang meneliti perkara berkaitan pelaksanaan syor-syor dan dapatan kajian Suhakam melalui tribunal sekiranya ia ditubuhkan.
“Saya berpandangan adalah penting pandangan Suhakam tidak dibiarkan begitu sahaja tetapi perlu dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, jika melibatkan isu pencabulan hak asasi manusia, perkara itu akan turut dirangkumi dalam tribunal yang bakal diwujudkan meskipun masih terlalu awal untuk menetapkan kerangka, asas dan parameternya.